Beliau jamaah yang konsisten dalam solat jamaah baik di Masjid Negeri Sabah atau di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan. Juga pencinta kelas-kelas dan kuliah-kuliah pengajian yang diadakan di kedua-dua masjid dan surau ini. Lidahnya agak liat untuk dibetulkan apabila belajar al-Quran bersama-sama, tapi satu perkara yang saya tabik ialah ketekunan dan kerajinan beliau untuk terus bersama-sama dalam kelas-kelas al-Quran.

Tuan Haji Fauzi Haw, 62 tahun dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth kali pertamanya beberapa minggu lepas dan kemudiannya keluar. Ketika itu saya tidak sempat berziarah ke hospital dan hanya berziarah ke rumah beliau bersama-sama Ustaz Mohammad Suaid dan Cikgu Nik Suhaimi pada suatu hujung minggu. Gembira melihat beliau semakin segar. Masing-masing menitipkan petua khususnya Cikgu Nik yang berpengalaman masuk wad akibat serangan jantung sebanyak dua kali.

Sabtu lepas, terserempak dengan isteri beliau di perkarangan Wisma MUIS dan memaklumkan suaminya ditahan semula di Hospital Queen Elizabeth 1 sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2. Pada asalnya saya dimaklumkan beliau akan menjalani pembedahan angiogram jantung pada selasa, dan saya berhajat menziarahinya pada petang isnin (foto atas). Rupanya apabila kami berziarah pada petang isnin, beliau telah selesai menjalani pembedahan itu pada pagi isnin atas nasihat doktor.

Terharu saya mendengar ceritanya, bahawa doktor ada memaklumkan risiko-risiko pembedahan. Pertama katanya, kebarangkalian terkena strok; kedua, serangan jantung dan ketiga, meninggal dunia. “Kalau sudah ketentuan, saya bersedia saja”, katanya. Jamaah masjid dan surau berganti-ganti menziarahi beliau dan tidak kurang yang mengadakan solat hajat untuk kesembuhan beliau.

Petang selasa, beliau keluar wad dan balik ke rumah. Hanya beberapa jam di rumah, selepas isyak beliau mengadu pening kepala dan dihantar semula ke wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1. Petang tadi saya sempat menziarahi beliau. Beliau sedar ketika saya bertanya adakah beliau nampak saya atau tidak? Katanya, nampak tapi nampak dua orang. Saya dimaklumkan ia mungkin kesan pembedahan pada pagi isnin dan beliau sedang menunggu giliran untuk ditempatkan di wad biasa sama ada di Queen 1 atau Queen 2.

Insya Allah ada kesempatan akan berziarah lagi.