Archive for 5 Mac 2012


KULIAH DARUSSYIFA’ 10

Saya ingatkan ini kuliah yang terakhir, rupanya bukan.

Kuliah malam minggu dan kemudian bersambung pada pagi ahad sehingga zuhur sepenuhnya berkaitan dengan tajuk santau yang dibimbing oleh Tuan Haji Mokhtar Kasan dari Darussyifa’ Bangi. Beliau dikenali sebagai ‘pakar santau’ di Darussyifa’, membimbing pengajian-pengajian Darussyifa’ seluruh Malaysia khususnya berkaitan tajuk ‘santau’. Bahkan katanya beliau mengadakan rawatan khususnya berkaitan santau ini sejak tahun 80an lagi sebelum menyertai Darussyifa’.

Tuan Haji Mokhtar menjelaskan jenis-jenis santau seperti santau angin, santau langkah, santau tuju, santau makan minum dan sebagainya, sehinggalah kepada kaedah rawatannya. Bahkan di hujung kuliah kami atas tajuk ini diadakan sesi praktikal merawat pesakit yang disantau secara ‘real’. Modelnya memang seorang yang disantau sudah bertahun-tahun dan kemudian dirawat sambil kami semua menyaksikan sesi itu sehingga selesai. Tidak ketinggalan, beliau mengingatkan kami semua bahawa ikhtiar dan usaha manusia, sementara kesembuhan adalah daripada Allah SWT.

Benar sebagaimana yang sering dipesan oleh Rasulullah SAW akan pelindung-pelindung diri seperti solat fardhu, solat-solat sunat, tilawah al-Quran, zikir-zikir yang ma’thur dan seumpamanya boleh menjadi pendinding diri daripada gangguan santau yang merupakan gabungan tiga rangkaian : ramuan, sihir dan makhluk halus.

Sumber foto : Facebook Amran Aliamat

Kursus Asas Haji bagi musim 1433H sudah pun bermula pada 3 Mac lepas di Masjid Negeri Sabah. antara jam 8 pagi hingga 12 tengahari dan berlangsung setiap sabtu sehingga 28 April 2012 akan datang. Tidak ramai yang tahu bahawa kursus asas haji ini sebenarnya boleh disertai secara terbuka oleh orang ramai, sama ada mereka yang sudah pernah menunaikan fardhu haji atau belum mendapat panggilan daripada pengurusan tabung haji langsung, atau juga yang langsung tidak membuat penabungan di tabung haji, kesemuanya boleh menyertai kursus asas haji ini.

Sengaja saya masukkan entri ini kerana ramai menyangka bahawa kursus ini hanya terbuka kepada bakal haji yang sudah dipanggil oleh pengurusan Tabung Haji sahaja. Bahkan sinis juga sesetengahnya saya membaca atau melihat apabila ada yang enggan menyertai kursus asas haji kerana ‘bimbang’ disangka hendak pergi haji. Sebenarnya mereka yang mencintai majlis ilmu seumpama ini boleh hadir menikmati kuliah yang disampaikan oleh para pembimbing.

Sepanjang yang saya ketahui berkenaan kursus asas haji ini, ia bukan hanya melibatkan ibadah haji sahaja bahkan juga antara kandungan silibusnya ialah berkenaan solat. Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang juga antara tenaga pengajar utama di sini pernah menjelaskan kepada saya bahawa dalam sesi soal jawab, tidak sedikit soalan berkenaan solat dikemukakan oleh peserta kursus. Sebab itu hukum hakam asas tentang solat dimasukkan juga dalam kandungan kursus ini.

Selain itu, sudah tentu kandungan utamanya adalah berkaitan dengan ibadah haji itu sendiri, sehinggalah nanti pada akhir kursus akan diadakan secara praktikal ibadah melontar, tawaf dan saie di ruang terbuka perkarangan Masjid Negeri Sabah dengan kesemuanya dikehendaki memakai pakaian ihram sebagai suatu latihan kepada bakal-bakal haji. Kepada semua yang hadir, saya doakan semuanya mendapat ilmu yang bermanfaat dan dikurniakan rezeki untuk sampai ke tanah suci sama ada kali pertama atau kali yang berikutnya. Insya Allah.

%d bloggers like this: