Archive for 3 Mac 2012


Sumber artikel : http://masjidwilayah.gov.my/

Pembinaan Masjid Wilayah ini direalisasikan pada 25 Syawal 1416 Hijri bersamaan 15 Mac 1996 Masihi dan siap dibina pada 30 Ogos 2000 Masihi. Upacara serah milik kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) pada September 2000 Masihi. Tapak binaannya berkeluasan kira-kira 13.4 hektar, iaitu di atas tapak bekas mahkamah dan pejabat kerajaan. Cadangan pembangunan Masjid Wilayah ini diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat. Ia merupakan projek Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan diiktiraf berstatus Masjid Negeri.

Masjid Wilayah Persekutuan terletak di sebuah kawasan berbukit Jalan Duta, berhampiran susur masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur dan Dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda  Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajudin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalulail pada 18 Februari 2005. Masjid ini dinamakan Masjid Wilayah Persekutuan adalah sebuah masjid berkonsepkan ‘masjid dalam taman’ telah pun dibina. Ia menggunakan konsep tradisi masjid-masjid Othmaniah di Turki, rekabentuk senibina dan hiasan dalamanya pula adalah merupakan kombinasi rekabentuk tradisi Melayu Malaysia dan Timur Tengah.

Ianya terletak berhampiran dengan Kompleks Kerajaan, Jalan Duta dan kini merupakan satu lagi mercu tanda di ibu negara. Masjid ini boleh menampung seramai 17,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Keluasan keseluruhan bangunan adalah kira-kira 47,000 meter persegi. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, masjid ini merupakan masjid yang termoden di Malaysia pada masa kini.

Ada aktiviti atau kemudahan yang boleh ditiru dan dicontohi oleh masjid-masjid atau surau-surau lain mengikut kemampuan masing-masing. Foto-foto di atas boleh dijadikan panduan.

Ini pertemuan sulung kami bagi tahun 2012 dan tahun keenam bagi saya duduk bersama-sama otai-otai al-Quran di Malaysia. Senarai AJK untuk sesi ini akan berakhir sekitar bulan julai kalau tidak salah saya, entah disambung lagi atau tidak wallahu a’lam. Tetapi banyak ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang keberadaan di dalam lajnah ini, sementelahan saya sendiri yang paling junior dari segi umur dan suka bertanya kepada tokoh-tokoh di dalamnya.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lagi, sementara menanti sahabat-sahabat ahli lajnah yang lain tiba dengan penerbangan masing-masing, kami dimaklumkan oleh Pak Yunus bahawa bahan yang hendak disemak sangat banyak dan memecah rekod jumlah sebelum ini. Katanya ramai syarikat yang menghantar bahan untuk disemak oleh KDN dan dalam masa yang sama pertemuan kami kali ini lambat sedikit berbanding musim-musim lepas yang biasanya pertemuan pertama diadakan pada februari.

Sesi pertama pada khamis malam jumaat bermula dengan pembentangan khas bersama Ybhg Professor Madya Dr Muhammad Mustaqim Mohd Zarif dari Fakulti Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tajuk yang dibentangkan adalah berkenaan dengan al-Quran Braille, di mana beliau membentangkan kepada kami beberapa isu dan cabaran berkaitan al-Quran Braille khususnya di Malaysia, perbandingan dengan negara-negara Islam yang lain serta cadangan-cadangan beliau yang kami pandang bernas demi memperbaiki al-Quran Braille menurut rasm al-Uthmani.

Apa yang saya ketahui tentang beliau ialah ada beberapa kajian yang beliau lakukan yang bersangkutan dengan pembentangan beliau antaranya; ‘Method Pengajian Braille al-Quran’; ‘Pembangunan Braille al-Quran Rasm Uthmani’; ‘Kaedah Pengajaran Kelas Agama Bagi Pelajar Cacat Penglihatan : Kajian Kes Di Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor’ dan banyak lagi. kami memandang usaha beliau yang murni agar al-Quran Braille dapat dihampirkan ke rasm uthmani kalaupun tidak dapat seratus peratus. Katanya itu juga impian kalangan OKU cacat penglihatan yang beliau temui dalam siri-siri pertemuan dan kajian beliau.

***

Berbalik cerita penyemakan al-Quran kami kali ini yang diadakan di Hotel Quality Jalan Raja Laut. Bayangkan dari khamis malam jumaat hingga pagi ahad, kami dikehendaki menyemak antara 80-82 juzu’ al-Quran seorang. Saya pula terpaksa balik awal pada petang sabtu ke Kota Kinabalu kerana ada kelas Darussyifa’, justeru terpaksa bekerja keras dan bersengkang mata dan kudrat menghabiskan tugasan sehingga tengahari sabtu. Masa berlebihan sekitar sejam sebelum berangkat ke KL Sentral saya luangkan untuk berjalan seketika di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, ke kedai buku mencari koleksi buku terbaru untuk dibawa pulang. Foto-foto itu saya akan kongsikan dalam entri akan datang.

Kesesakan dan kepadatan tugas kali ini menyebabkan waktu sembang dan santai hampir tiada langsung kecuali waktu makan atau ketika kami dalam bas menuju solat jumaat di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Itu pun ada sahabat-sahabat yang turut membawa bahan untuk disemak dalam perjalanan terutama bahan digital yang didengar sepanjang perjalanan pergi dan balik. Walaupun tugasan yang banyak, kami tetap diingatkan agar tidak semberono dan cuai dalam tugasan. Mudah-mudahan tugasan menyemak al-Quran ini diterima oleh Allah SWT.

%d bloggers like this: