Archive for 2 Mac 2012


Khatib : Ustaz Sallehuddin Mohd Isa

Lokasi : Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta

Menurut Akta Orang-orang Papa 1977, mengemis ialah apa-apa kelakuan yang dikira akan mendorong pemberian sedekah, berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau sebaliknya. Sedar atau tidak, kegiatan pengemisan ini berlaku di sekeliling kita seperti di masjid-masjid, pusat komersial perniagaan, pasar malam, kedai makan, stesen minyak, bank-bank, persimpangan jalan hatta di lampu isyarat juga golongan ini bergerak meminta simpati orang ramai.

Pelbagai ragam dapat dilihat, ada yang membawa anak kecil, menjual tisu, bunga, ayat-ayat suci al-quran sambil menunjukkan surat tawaran dan bil hospital. Tidak kurang juga yang menggunakan surat kebenaran memohon derma membina masjid, kehilangan dompet, disamun dan lain-lain. Jika difikirkan, siapa sahaja yang berhadapan dengan situasi tersebut pasti akan tersentuh naluri kemanusiaan dan terus menghulurkan sumbangan.

Tidak dinafikan juga, terdapat antara mereka yang betul-betul memerlukan bantuan dan terdesak untuk dibantu, tetapi ada pihak tertentu yang bertindak menipu serta mengambil kesempatan di atas kemurahan hati masyarakat kita. Islam tidak pernah memandang hina golongan miskin dan susah yang terpaksa mengemis serta meminta-minta kepada orang ramai, tetapi biarlah ia mengikut saluran yang betul dan tidak menyalahi undang-undang. Pelbagai pihak telah menawarkan bantuan-bantuan tertentu melalui peruntukan zakat yang dikendalikan BaitulMal di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Justeru, bagi memastikan golongan yang layak memperoleh bantuan seumpama ini dibantu, masyarakat perlu sedar dan faham agar mengelakkan diri bagi memberi derma atau sedekah kepada mereka yang mengemis. Peranan dan tanggunggjawab ini mesti dipikul bersama agar sebarang bantuan terutama wang zakat dapat disalurkan kepada mereka seterusnya membasmi kegiatan ini. Tidak salah rasanya, kita membawa golongan yang mengemis di jalanan ini atau lebih tepat yang memerlukan bantuan kepada pihak-pihak yang betul agar mereka yang mengemis ini tidak diperalatkan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan hasil kegiatan tidak bermoral ini.

%d bloggers like this: