Sumber : http://www.islam.gov.my/pentas-akhir-sirah-nabi-adikku-sabah-fm

Pada 18 Februari 2012 yang lepas, program Pentas Akhir Sirah Nabi Adikku Sabah fm 2011 telah diadakan bertempat di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah. Ia adalah anjuran bersama Sabah fm (Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah), Masjid Bandaraya K.Kinabalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Pusat Zakat Sabah (PZS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sabah dan beberapa NGO lain.

Objektif utama rancangan ini untuk mengetengahkan cerita dan sejarah nabi-nabi terdahulu kepada semua lapisan masyarakat. Seterusnya untuk menyampaikan dakwah Islam melalui kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun. Penganjur juga mengharapkan ia dapat memupuk jati diri, keyakinan serta memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui tentang cara hidup dan kisah teladan sejarah nabi-nabi yang terdahulu.

Menyorot kembali latar belakangnya, rancangan Sirah Nabi Adikku adalah sebuah rancangan baru di Sabah fm. Rancangan ini berkonsepkan dakwah hiburan yang mengupas sejarah nabi-nabi, melibatkan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun. Disiarkan setiap hari selasa, 8.30 malam di Radio Malaysia Sabah fm.

Secara ringkas mengenai rancangan ini, satu ujibakat telah diadakan pada bulan April 2011 yang lalu. Hasilnya hanya 9 peserta yang terpilih untuk menyampaikan cerita pada setiap minggu dari bulan April hingga Oktober 2011. Peserta kanak-kanak telah dipilih dari Sekolah-sekolah Agama Negeri sekitar Kota Kinabalu. Pemilihan sekolah dibuat oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Bahagian Pendidikan berdasarkan perbincangan dengan penerbit Rancangan Sirah Nabi Adikku.

Pentas Akhir Sirah Nabi Adikku yang turut berlangsung live di corong Radio Malaysia Sabah fm itu telah manampilkan 8 peserta yang sangat berbakat. Pelbagai elemen kemahiran dan nilai tambah yang digabungkan bersama bakat yang dilatih menjadikan persembahan mereka mendapat perhatian hadirin yang hadir serta memukau para juri. Alunan ayat suci Al-Quran, hadith Nabi Muhammad S.A.W, nasyid, gurindam, pantun, syair dan lakonan yang dipersembahkan oleh para peserta menjadikan penceritaan mereka sangat menarik.

Y.Bhg. Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan semua penaja rancangan yang julung kali diadakan oleh Sabah fm tersebut.

Sementara itu, program lain sempena Maulidur Rasul 1433H yang turut berlangsung sepanjang hari di Masjid Bandaraya itu ialah program ‘Kami Cinta Rasul’ yang dijalankan di sebelah pagi. Antara pengisiannya ialah kuiz, nasyid, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak dan sesi tazkirah khas yang disampaikan oleh Y.Bhg. Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah. Di sebelah malamnya pula, sesi ceramah Maulidur Rasul telah disampaikan oleh penceramah khas yang diterbangkan dari Indonesia.