Sumber : http://www.darulquran.gov.my/

Tajuk asal : MULTAQA HUFFAZ RAI 51 PENERIMA SIJIL TAHFIZ MALAYSIA

17 Februari 2012 – Darul Quran Jakim sekali lagi melakar sejarah penting apabila berjaya menghimpunkan para huffaz seluruh negara dalam program Multaqa Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 yang diadakan di Dewan Dato’ Mohd Shahir, InstitutLatihan Islam Malaysia, Bangi.

Antara pengisian majlis tersebut adalah Forum Huffaz yang telah menampilkan Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Sheikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara Kuala Lumpur, Y.Bhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Abd Halim Tamuri, dan Y.Bhg. Ustaz Ashraf Hj. Ismail sebagai ahli panel. Manakala Y.Bhg. Dato’ Hj. Zulkifli Ali, Pengarah Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Pahang sebagai moderator.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jakim. Beliau dalam ucapannya menegaskan Jakim khususnya amat prihatin dan komited bagi memastikan institusi al-Quran terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

“Jakim juga menyokong usaha-usaha untuk menyediakan pendidikan al-Quran kepada masyarakat dengan memberi bantuan yang diperlukan bagi menjalankan program-program yang berkaitan, terutama program tahfiz al-Quran” menurut beliau lagi. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Razali Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan dan Haji Paimuzi Yahya, Pengarah Darul Quran.

Sementara itu bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti dalam bidang tahfiz, Sheikh Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad telah dianugerahkan sebagai Tokoh Hafiz Kebangsaan. Manakala seramai 51 penerima anugerah telah menerima Sijil Tahfiz Malaysia sempena majlis tersebut.