Hujung minggu lepas, biras saya Cikgu Maryam Awang Damit yang bertugas di SMK Tebobon memberitahu pihak sekolah akan memulakan bacaan surah yasin setiap jumaat untuk mendekatkan pelajar muslim dengan al-Quran. Justeru beliau meminta saya mencarikan penderma yang boleh menyumbangkan kitab-kitab surah Yasin.

Saya fikir selain daripada surah yasin, ma’thurat adalah salah satu wirid yang baik untuk dipraktikkan oleh orang Islam sebagai amalan harian. Ma’thurat adalah himpunan ayat al-Quran dan doa yang warid daripada Rasulullah SAW, disusun oleh Imam asy-Syahid Hassan al-Banna. Saya kemudiannya melancarkan kempen waqaf kitab surah yasin dan ma’thurat kepada rakan-rakan facebook.

Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa hari ini saya dan kawan-kawan menerima sumbangan daripada beberapa orang secara tunai atau online. Memandangkan mulai hari ini (jumaat tadi) sudah dimulakan maka saya dan Poknik dengan persetujuan pihak sekolah berziarah ke sana petang semalam, menghantar 200 naskhah awal kitab surah yasin dan ma’thurat dengan janji akan menghantar baki sekitar 1000 naskhah lagi apabila stoknya sudah sampai.

Saya catatkan perkara ini di blog ini sebagai satu penghargaan kepada para penyumbang dan memaklumkan bahawa sebahagian wang waqaf mereka sudah disampaikan kepada pihak berkenaan. Pihak kedai pula mengusahakan baki kitab berkenaan sampai di Kota Kinabalu pada awal mac akan datang. Semoga dipermudahkan oleh Allah SWT.

Pihak yang berminat untuk berwaqaf boleh berhubung dengan saya dan kita akan sampaikan kepada pihak yang berkenaan. Jika satu-satu lokasi sudah mencukupi, kita akan alihkan ke sekolah atau institusi yang lain pula. Insya Allah.