Apa yang kita dapat simpulkan apabila melihat jalanraya yang elok diturap semula, hentian bas yang masih baik juga diganti, siri-siri pemberian kewangan giat dijalankan atas alasan ‘rakyat didahulukan’. Aduh, ini bukan zaman dahulukala. Ini adalah zaman maklumat dapat diakses melalui internet, orang bijak pandai semakin ramai.

Jalanraya hari-hari dilalui oleh penggunanya. Mereka tahu mana satu jalan yang elok, mana jalan yang rosak dan perlu diperbaiki. Alih-alih, jalan yang sememangnya elok dibongkar dan diturap kembali. Memang kita mahu kemudahan yang selesa untuk rakyat, tapi janganlah terlalu mudah mahu mengelentong pengguna. Di sana-sini masih banyak kemudahan belum diperolehi dan diperbaiki. Di kampung atau nun di pedalaman terlalu banyak perkara asas belum diselesaikan.

Saya teringat satu kajian akademik oleh seorang pensyarah sebuah universiti bahawa kejahilan dan kemiskinan rakyat adalah sesuatu yang sangat disukai oleh pemerintah yang jahat di mana saja di dunia ini. Rakyat yang jahil dan miskin dapat diperkotak-katikkan, diperalat dan dibuatkan janji-janji manis tetapi kosong kerana mereka mudah percaya akibat kejahilan walaupun janji yang sama dibuat setiap kali kempen pilihanraya berlangsung.

Maka orang yang berilmu mesti bangkit menyedarkan masyarakat masing-masing. Rakyat yang akan memilih pemimpin mesti menjadi hakim yang bijak dan tahu menilai baik dan buruk atas pertimbangan agama dan akal, bukan dengan duit dan emosi. Tapi awas di sana masih ramai orang yang berilmu tetapi jahat, mempunyai kepentingan peribadi dan enggan menjelaskan kebenaran kerana pangkat dan jawatan yang disandang, projek dan harta yang diburu dalam kehidupan mereka.