Sumber : http://dakwahkemaman.blogspot.com/

Menyorong kereta tolak menjaja nasi lemak adalah kerjanya hari-hari. Dengan pendapatan  menjaja kuih-muih pagi itu, dapatlah Makcik menyara keluarganya. Agak-agak dapatlah Makcik memperoleh keuntungan RM20 hingga RM30 sehari.

Setiap hujung bulan, Makcik ini akan bertemu dengan Ustaz Rosli Jabar.  Pertemuan itu bukanlah kerana untuk menjual kuih atau meminta bantuan daripadanya. Sebaliknya, setiap hujung bulan Makcik akan menghulurkan secara tetap RM20 untuk pondok Ustaz Rosli. Istiqamah sungguh Makcik yang miskin ini dalam membantu perjuangan dan syiar Islam.

Ustaz Rosli tak kenal sangat akan Makcik ini. Bagai ayam disambar helang, Makcik sudah agak lama tidak berjumpa dengan Ustaz. Ustaz tak tahu khabar beritanya. Adakah orang tua itu sudah tiada kesanggupan lagi untuk menghulur derma? Entah sakitkah atau entah ke manakah?

Enam bulan kemudian, tiba-tiba dengan wajah yang agak pucat Makcik ini datang lagi berjumpa dengan Ustaz Rosli. Lalu diceritakan bahawa sudah enam bulan dia tinggal di rumah anaknya di Kelantan. Dia sakit dan mendapatkan rawatan di sana. Kini setelah agak sembuh Makcik ini kembali  untuk menemui Ustaz Rosli. Lalu dihulurkan kepada Ustaz sebanyak RM 120.00, iaitu tunggakkan dermanya untuk selama 6 bulan. Berasa nak gugur air mata ustaz melihatkan kesucian hati manusia yang miskin ini dalam meneruskan agenda perjuangan Islam. Adakah terdapat dalam kalangan kita yang mengamalkan “qadha derma” seperti Makcik tua ini? SubhanalLah.

Setahun kemudian, Makcik kampung ini dijemput Allah pulang ke pangkuan-Nya. Ramai orang mengunjungi dan solat akan jenazahnya. Ustaz Rosli tidak dapat menahan air mata. Pada saat jenazah terkujur kaku di hadapannya, dia terkenang sikap istiqamah dan pemurah seorang makcik tua miskin yang tinggal di pinggir kampung. Kini orang ini tak akan menemuinya lagi pada setiap hujung bulan.

Saudara-saudari sahabat seperjuangan, apakah nilai moral daripada kisah benar ini yang patut sama menggugurkan air mata kita dan mencabar sifat berkira kita dalam membantu agama? Renung-renungkanlah.

About these ads