Kehidupan sewaktu kecil saya di kampung sering melihat drama-drama dari tv Brunei yang boleh diakses di Labuan. Drama tv Brunei sebenarnya amat dekat di hati masyarakat Labuan khususnya mereka yang berbangsa brunai. Drama mereka yang sangat bersahaja, dengan sepenuhnya dalam bahasa brunai yang menjadi pertuturan kami seharian sering saja menggeletek hati.

Drama-dramanya ringan saja tapi penuh dengan mesej kemasyarakatan yang baik,  menjunjung akhlak luhur dan budi pekerti yang mulia tapi mudah difahami dan disampaikan secara santai bahkan kadang-kadang sindirannya tidak menyebabkan kita terguris pun kerana kelihatan ketulusannya. Watak-watak seperti Liau Badar (Allahyarham Haji Rais Banih) yang dekat di hati peminatnya seperti kami sejak kecil sehingga beliau kembali kerahmatullah pada 2010, bersama Awang Jambul, Dang Limah, Awang Sagap, Si Kudil dan lain-lain.

Sudah lama saya tidak menonton drama-drama mereka barangkali sejak bersekolah menengah dan apabila sudah ada perkhidmatan astro, tv Brunei sudah hampir tidak ditonton lagi. Hati terhibur melihat drama mereka yang ada mesej yang baik kepada penontonnya. Drama ini adalah antara lakonan Allahyarham Tuan Haji Rais Banih yang meninggal dunia pada tahun 2010. Ada maklumat menjelaskan beliau yang ketika itu berumur 74 tahun hilang di laut ketika sedang mencari sumber pendapatan. Lebih daripada itu tidak pula saya ketahui. Al-Fatihah.