Salim (bukan nama sebenar), baru berumur 22 tahun. Beberapa tahun lepas dia mendapat tawaran menjalani latihan percubaan di sebuah syarikat penerbangan ternama di ibu negara. Selepas beberapa bulan menjalani latihan, pihak pentadbiran memutuskan dia gagal untuk diambil bekerja di syarikat mereka.

Salim tidak terus kembali ke Sabah, tetapi mencari kerja lain di Selangor. Melalui kesempatan latihan percubaan, dia berkawan dengan mereka yang bergelumang dalam kerja-kerja di disko dan kelab malam. Hasil keterlibatannya, Salim mengakui pernah memegang senjata berbahaya tetapi belum pernah membunuh atau mencederakan sesiapa. Ada juga perasaan kasihan dan simpatinya.

Demi untuk mempertahankan diri dalam kerja-kerjanya, Salim sanggup mempelajari ilmu hitam daripada pengamal-pengamal ilmu hitam dan memakai tatto di tubuhnya. Ada tiga tatto, satu di leher, di lengan dan di betis. Menurutnya, paling berkesan dan utama ialah tatto di bahagian leher sehingga kononnya jin yang bersarang di tubuhnya hanya boleh keluar jika tatto di situ dibuang terlebih dahulu.

Salim tergerak balik ke Sabah beberapa hari sebelum ini dan ibu bapanya mengesan sesuatu yang tidak kena dalam diri anak mereka. Salim tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah, bahkan kalimah Allah sekalipun tidak dapat dilafazkannya. Apabila dia cuba menyebut, kelihatan terhalang seperti sedang dicekik oleh sesuatu. Rawatan berterusan telah dan akan dilakukan di Surau SK Putatan pada khamis malam jumaat.