Saya dengar kata orang, istilah ini bermula di Kota Belud. Ada orang kata yang mulakannya ialah Musli Oli. Akhirnya ia menjadi satu ungkapan yang terkenal kalau pun tidak di seluruh Sabah, tetapi mula meniti di bibir mereka yang mahukan perubahan. Ungkapan “Ni kali laah..” merujuk satu seruan kepada rakyat Sabah agar menukar pemerintahan pada pilihanraya kali ke-13. Kali ini – kesempatan pilihanraya kali ini – itulah maksud yang saya fahami.

Ada seorang jamaah masjid yang saya temui, asal saja bertemu dia akan berkata : “Ni kali laah..” dan saya hanya membalas dengan senyuman saja. Dia berasal dari Kota Belud juga dan menetap di Kota Kinabalu. Barangkali orang-orang Kota Belud menjadi agen penyebar istilah ini kepada masyarakat setempat mereka. Maklumlah, khabarnya Parlimen Kota Belud juga antara parlimen yang panas ketika ini.

Barangkali masing-masing punya alasan untuk berubah dan merubah pemerintah kepada parti yang lain. Bahkan Sabah adalah negeri yang mempunyai rekod sejarah menukar kerajaan daripada USNO-BERJAYA-PBS-BN sejak merdeka hingga sekarang. Bahkan antara tanda demokrasi ialah rakyat diberi peluang menyatakan pendirian memilih pemimpin mereka dan dalam masa yang sama rakyat menjadi hakim menentukan orang yang layak sebagai pemimpin.

Justeru, kefahaman mesti diberikan kepada rakyat selaku hakim, agar mereka tidak tersalah hukum, memilih pemimpin yang salah dan mempunyai kepentingan peribadi. Mereka yang berpengetahuan wajib memberikan keterangan kepada mereka yang tidak tahu antara kebenaran dan kebatilan, agar rakyat yang akan bertindak sebagai hakim, mempunyai maklumat yang jelas dan benar.

Kepimpinan adalah salah satu perkara yang penting dalam Islam dan Islam memberikan garis panduan bagaimana memilih pemimpin yang baik, benar dan bertanggungjawab. Kepimpinan dalam Islam merupakan amanah yang mesti dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat RA ketika Abu Zar Al Ghaffari meminta jawatan, baginda SAW menjawab :

“Wahai Abu Zar..sesungguhnya ini amanah, engkau amat lemah, apabila engkau tidak menunaikan haknya ia akan memberikan penghinaan kepadamu di akhirat nanti..”

Justeru sebelum memegang amanah, maka rakyat yang akan menyerahkan amanah kepimpinan itu mesti melihat ciri-ciri kepimpinan yang selaras dengan prinsip ajaran Islam. Maka memilih pemimpin juga adalah satu amanah yang akan disoal oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Satu ketika saya berurusan di sebuah premis aksesori kereta. Tuan punya kedai seorang berbangsa tionghua yang belum beragama Islam tetapi dia ada membayar zakat fitrah sejak beberapa tahun kebelakangan. Resitnya ditunjukkan kepada saya. Katanya : “Kita tolong olang Islam, olang Islam tolong kita”. Sementara menunggu urusan berkenaan kereta saya disiapkan oleh pekerjanya, dia bercerita tentang isu semasa.

Rupanya kefahamannya terhadap politik Malaysia sangat baik. Katanya dia dan kawan-kawannya tidak mudah terpengaruh dengan berita melalui TV dan radio khususnya berita yang memburuk-burukkan Tok Guru Nik Aziz. “Dia olang baik, olang sembahyang punya”, katanya. Kawan-kawan sebangsa dengannya terutama di Kelantan mengajaknya melawat Kelantan, melihat kehidupan masyarakat Islam dan bukan Islam serta pembangunan pesat yang berlaku di sana walaupun dinafikan oleh berita tv dan media perdana. Kawan-kawan di luar Kelantan pun sudah ramai melawat negeri berkenaan, ceritanya. Saya pula banyak berdiam diri mendengar ulasannya.

Sebelum berpisah, saya diajaknya ke keretanya, melihat sticker yang sudah terpasang di keretanya. “Jangan gambar saya, yaa”, katanya menamatkan pertemuan kami. Saya doakan dia masuk Islam, dengan izin Allah. Lihat sticker yang ditampal di cermin keretanya. (Foto bawah).