Bertolak dari Wisma MUIS sekitar jam 9.30 malam, lokasi pertama operasi ialah di sekitar  Tanjung Lipat, Teluk Likas dan pasukan penguatkuasa JHEAINS diketuai oleh Tuan Haji Khamis Jamil (Penolong Pengarah Penguatkuasa) dan disertai oleh anggota polis memeriksa beberapa pasangan beragama Islam yang sedang berdua-duaan di beberapa lokasi dalam keadaan mencurigakan. Di sini hanya satu pasangan ditahan. Mereka dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk diambil keterangan.

Beralih ke pusat bandaraya Kota Kinabalu, kami meronda sekitar Tanjung Bendera, Kampung Air dan sekitarnya. Pasukan seramai 20 orang berpecah dan di sini tiada pasangan yang ditangkap. Kami dimaklumkan penguatkuasa DBKK juga telah melakukan operasi pada sebelah siang hari yang sama.

Kami bergerak ke arah Inanam ke sebuah taman perumahan dan di sana menahan sepasang lelaki dan perempuan yang bersekedudukan. Lelaki berkenaan sudah berkahwin mendakwa perempuan yang bersamanya adalah bakal isteri keduanya. Yang menyedihkan, perempuan berkenaan yang baru saja memeluk Islam pada September 2011 telah mendapat contoh yang salah daripada lelaki berkenaan. Mereka kami bawa ke Balai Polis Inanam.

Jam 3 pagi, kami melakukan serbuan pula di Kampung Ketiau Putatan. Pasangan yang telah bersekedudukan lebih setahun, tinggal sebilik dan dalam masa yang sama masing-masing membawa sepupu dan anak buahnya untuk mengabui masyarakat sekeliling. Mereka dibawa ke Balai Polis Putatan untuk diambil keterangan dan kemudian dijamin sebelum dilepaskan. Pihak Penguatkuasa JHEAINS menetapkan suatu tarikh untuk memanggil mereka selepas ini.