Buku yang baru dibaca :

Penulis : CN al-Afghani & Mohd Rapi Mohd Nor al-Jundi

Penerbit : Best Seller Publication (2011)

Harga : RM17.00/RM20.00

Petikan :

Pada mereka, aku perlu berada dalam selamat dan pulang dengan selamat, bukan sahaja selamat ke Islamabad, malah ke negaraku. Aku sedar, mereka menganggapku amat berharga. Berharga untuk perjuangan mereka. Bukan nyawaku yang dipentingkan, tetapi adalah maklumat yang akan kubawa pulang.

Mereka mahu kubawa ole-oleh dari medan jihad Kashmir. Agar umat Islam di Malaysia tahu apa yang sedang berlaku di Kashmir. Pertembungan antara kuffar dan Islam di bumi yang terpinggir itu. Mereka mahu umat Islam tahu, bahawa saudara mereka di Kashmir amat memerlukan sokongan mereka. Bukan sokongan tenaga, tetapi kewangan dan doa. Satu sen sahaja dari umat Islam Malaysia ini, amat tinggi nilainya untuk jihad mereka. Sebagaimana Allah Taala telah berfirman yang maksudnya :

“..dan barang apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki” (Saba : 39)

Sebab itu, mereka melihat kedatanganku amat penting. Sebab itu jugalah kudapati Mansoor sentiasa waspada terhadap keselamatanku. Hinggakan kuhendak ke tempat buang air pun ia mengikutnya. Dia menghormatiku bukan sahaja sebagai tetamu biasa, malah lebih dari itu. Ada sesuatu yang mereka harapkan dariku. Harapan yang terlalu agung, tinggi menggunung, seluas lautan dan setebal bumi.

Inilah juga yang merisaukanku. Harapan mereka. Apakah aku mampu untuk memenuhi harapan mereka atau sebaliknya. Entahlah, sukar untukku memberi jawapan. Apa yang kumampu lakukan, sekadar mendedahkan maklumat dan tinjauan kepada umum. Setelah itu terpulanglah kepada pembaca sekalian. Mahu membantu atau tidak perjuangan mereka, bukan kuasaku untuk menentukan.