Ini kali kedua tasmik ruqyah dan seterusnya tasmik herba dalam pengajian kami di Darussyifa’ Sabah. Tasmik ruqyah buat pertama kali diadakan pada akhir bulan oktober tahun lepas dengan kehadiran empat orang mumtahin (pemeriksa) dari Darussyifa’ Bangi. Tapi kali ini mumtahin ada 5 orang dan ditambah lagi seorang dengan Ustaz Nik Anwar Zakaria dari Darussyifa’ Sabah.

Jumaat malam sabtu diadakan taklimat bersama Pengerusi Darussyifa’ iaitu Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad yang menjelaskan panjang lebar etika pengubatan Islam yang mesti dipatuhi oleh perawat Darussyifa’. Ia menerangkan tentang akhlak muslim yang mesti ada sebagai seorang perawat muslim dan Darussyifa’. ¬†Antara yang mengesankan saya ialah tidak meminta atau menetapkan sebarang upah kepada pesakit yang memohon rawatan. Jika ada sumbangan, diberikan kepada tabung persatuan. Begitu juga diterangkan kepada pesakit bahawa kesembuhan itu adalah milik Allah SWT, bukan kepada perawat yang sekadar berikhtiar kepada Allah SWT.

Tasmik ruqyah pusingan kedua diadakan pagi sabtu, selepas majlis zikir diadakan. Ia merangkumi lebih 100 peserta yang masih bertahan, menghafaz bait-bait ruqyah yang perlu diperdengarkan kepada mumtahin dengan baik. Ada yang tasmik ruqyah asas kedua dan ketiga, dan ada yang tasmik ruqyah ketiga saja seperti saya. Giliran saya tasmik sekitar jam 12.15 tengahari, beberapa minit sebelum azan zuhur dilaungkan. Selepas solat dan makan tengahari, tasmik disambung lagi sehingga lewat petang. Tasmik ruqyah berakhir dan selepas isyak disambung lagi dengan tasmik herba pula.

Ada 12 kumpulan semuanya, enam kumpulan berada di bilik kuliah 2 dan enam kumpulan lagi di bilik mesyuarat Masjid Negeri Sabah. Setiap kumpulan mempersembahkan cara-cara merawat 2 jenis penyakit zahiriah yang melibatkan penggunaan herba dan ruqyah sekaligus. Ada penyakit tentang asma, gaut, buah pinggang, sawan, kencing manis, migrain, gastrik, kayap dan lain-lain.