Sumber : http://darussyifa.org/

Rawatan dengan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din hanya setiap pagi selasa (7.30 pagi hingga 1.oo tengahari)

Gambar Bangunan Darussyifa’ Bandar Baru Bangi di subuh hari. Ada yang telah datang sejak sebelum waktu subuh untuk menunggu di kaunter  pendaftaran untuk mengambil nombor giliran.

Orang ramai mula beratur sejak awal waktu subuh lagi untuk mendapatkan normbor giliran. Kebiasaannya hanya nombor giliran 1 hingga 200 sahaja yang berpeluang mendapat rawatan dengan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Nombor giliran 1 ~ 200 biasanya  telah habis sebelum jam 6:30 pagi. Bagi nombor giliran berikutnya akan dirawat oleh Perawat-perawat kanan Darussyifa’.

Setelah mendapat nombor, pesakit atau wakil pesakit diminta untuk mengisi butir-butir dalam Kad Rawatan. Butir-butir latar belakang penyakit hendaklah ditulis dengan tepat dan ringkas. Jika ada masalah untuk mengisi Kad Rawatan, boleh bertanya dengan AJK yang bertugas di kaunter.

Setelah Kad Rawatan diisikan dengan lengkap, pesakit hendaklah menunggu sehingga nombor giliran dipanggil. Nombor giliran anda akan terpapar di Papan Digital.

Orang ramai yang berhajat mendapatkan rawatan, dinasihatkan supaya meletakkan botol-botol air dan juga bahan-bahan ubat yang di bawa diatas meja yang disediakan di ruang lobi. Ini kerana sebelum rawatan bermula Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din akan membacakan doa dan meniup keatas air dan bahan-bahan tersebut. Bagi mereka yang terlupa membawa air, air mineral ada dijual di sini.

Seawal pukul 7:30 pagi Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din akan sampai ke klinik dan akan terus membacakan doa. Orang ramai yang hadir diminta supaya menadah tangan untuk mengaminkan doa yang dibaca. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan doa kita semua dengan menyembuhkan segala penyakit yang dihidapi.

Setelah selesai doa dibaca, Tuan Guru meniup pada air dan bahan-bahan yang diletakkan di atas meja.

Setelah nombor giliran dipanggil, pesakit akan diminta untuk masuk ke bilik menunggu. Disini pesakit diminta menyerahkan Kad Rawatan kepada petugas.

PERHATIAN: Pesakit hanya dibenarkan untuk diiringi oleh SEORANG waris atau rakan atau suami/isteri sahaja untuk memasuki bilik menunggu dan bilik rawatan. SATU botol air sahaja dibenarkan dibawa masuk oleh setiap pesakit.

 

Di dalam bilik menunggu, pesakit dan pengiring diminta untuk membanyakkan membaca Selawat. Tunggu sehingga nama pesakit dipanggil oleh petugas.

Di dalam bilik rawatan disediakan 3 buah kerusi untuk pesakit. Ketika Tuan Guru merawat pesakit pertama, pesakit kedua dan ketiga hendaklah menunggu dengan duduk diam dan hendaklah membanyakkan membaca selawat. Setelah selesai merawat pesakit pertama, Tuan Guru akan beralih ke pesakit kedua, ketika ini pesakit pertama tadi hendaklah bangun keluar pergi ke tempat penerangan dan kaunseling. Tempat duduk pesakit pertama tadi akan digantikan pesakit lain. Begitulah seterusnya.

Ini adalah suasana di bilik rawatan bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Seorang pesakit yang datang dengan berkerusi roda sedang dirawat.

Seorang pemuda yang sering mengalami sakit kepala sedang dirawat.

Apabila tiba pukul 10:00 pagi, Tuan Guru akan berhenti rehat selama setengah jam. Dalam waktu rehat ini Tuan Guru akan menikmati sarapan pagi bersama-sama dengan AJK dan petugas-petugas sukarela. Diwaktu ini juga Tuan Guru bertukar-tukar fikiran dan maklumat dengan mereka.

Diluar bangunan Darussyifa’ ada juga gerai jualan sarapan pagi. Orang ramai juga boleh membeli sarapan pagi di sini.

Pada pukul 10:30 pagi Tuan Guru menyambung merawat pesakit. Seorang pesakit lelaki sedang dirawat oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

 

 Seorang pesakit wanita bersama bayinya sedang dirawat oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

 

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din sedang mentahnik seorang bayi lelaki.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din sedang mendoakan pasangan suami-isteri yang telah 6 tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Setelah keluar dari bilik rawatan, pesakit diminta untuk mendengar penerangan daripada pembantu perawat. Ini sangat penting bagi mendapatkan penjelasan bagaimana untuk menggunakan bahan-bahan ubat dan juga rawatan susulan yang perlu dilakukan oleh pesakit.

Rawatan yang diberikan oleh Darrussyifa’ adalah sentiasa percuma. Bayaran tidak dikenakan sebelum dan selepas rawatan. Bagaimanapun sumbangan daripada orangramai adalah sangat-sangat dialu-alukan supaya Darussyifa’ dapat meneruskan kerja-kerja kebajikan dan dakwah kepada seluruh masyarakat. Sumbangan ikhlas boleh dimasukkan kedalam kotak tabung yang disediakan.

Advertisements