Satu lagi pengalaman manis.

Kali ini sebuah restoran pula mengundang untuk mengisi slot tazkirah di premis mereka sempena mengingati keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Restoran Tokmi Station di Sadong Jaya Karamunsing – blok belakang Hotel Epal – milik keluarga sahabat / senior sekolah Aminuddin Abd Rahman menjemput saya melalui facebook seminggu sebelum majlis berlangsung.

Ia satu pengalaman berharga kerana pertama kali bertazkirah di perkarangan sebuah restoran yang dihadiri oleh tetamu-tetamu undangan mereka. Majlisnya ringkas sahaja. Majlis dimulakan dengan doa yang dipimpin oleh Ustaz Haji Arshad Hashim (pensyarah UiTM Sepanggar), kemudian ucapan di pihak penganjur, tazkirah selama 15 minit, persembahan kompang, solawat beramai-ramai dan diakhiri dengan jamuan.

Tazkirah ringkas saya sampaikan berkaitan dengan makan minum Rasulullah SAW, mengambil sempena majlis yang diadakan di sebuah restoran, mengingatkan kepada hadirin akan kehidupan Nabi SAW yang amat sederhana, selalu berpuasa, tidak sombong dengan cara dan menu makan minum baginda sekeluarga dan sebagainya. Saya bacakan juga beberapa hadith yang menunjukkan cara makan minum Nabi yang memperlihatkan sikap baginda yang menghargai rezeki yang dinikmati. Kitab Syamail Muhammadiyyah menjadi rujukan saya.

Saya kira restoran lain juga boleh mengambil pendekatan seumpama ini disamping itu mengundang anak-anak yatim atau fakir miskin menjamu selera secara percuma. Kalau selalu makan berbayar, maka sesekali buatlah makan-makan percuma pula. Bukankah menyantuni anak yatim dan fakir miskin serta memberi makan kepada orang lain termasuk dalam saranan Rasulullah SAW?

Oh ya, restoran ini dibuka setiap hari antara jam 6 pagi hingga 6 petang. Kata Amin, nanti apabila kawasan belakang bangunan – kerja-kerja mengindahkan sepanjang persisiran Sungai Sembulan siap, mereka mungkin akan membuka beberapa meja di sana. Tahniah kepada seluruh pengurusan Tokmi Station semoga menjadi contoh yang baik kepada restoran yang lain. Semoga berjaya.