Sesekali cerita hal makan-makan.

Minggu lepas, Ustaz Mohammad Suaid ada menunjukkan kepada saya satu restoran baru di Kepayan Perdana, Jalan Lintas, tidak jauh dari stesen minyak petronas dan jalan masuk menuju ke Cyber City Apartment. Hajat kami hendak menyinggah di sana tetapi tidak kesampaian kerana kesuntukan masa. Ketika itu kami dalam perjalanan ke Kg Simpudu Papar untuk menempah 5 ekor kambing untuk dikendurikan.

Cuti maulidur rasul pada isnin lepas, saya ambil sedikit kesempatan bersama keluarga makan-makan di Maju Cafe ini. Ya, ia baru sebulan beroperasi, kata pekerjanya. Kawasannya pun agak selesa dan bersih. Di tingkat atas katanya ada ruang yang berhawa dingin. Anak-anak yang empat orang – Hana, Hadi, Lu’lu’ dan Aina’ cuma minta roti canai + milo ais sementara saya, isteri dan Nuha makan nasi + ikan putih tiga rasa +  lamb chop.

Kesimpulan kami di sini, layanannya mesra, makanannya sedap, masa menanti tidaklah terlalu lama – agak standard – walaupun waktu sudah menjelang tengahari dan pelanggan mereka sudah mulai ramai ketika itu.  Jumlahnya RM93.40, berbaloi juga dengan perkhidmatan yang bagus. Siapa berhajat boleh datang sini. Sedia duit lebih sikit ya.