Khatib : Ustaz Daroni

Lokasi : Masjid Nurul Islam Kg Peringatan Petagas

Rasulullah SAW telah diiktiraf sebagai ketua kepada sekalian para nabi dan rasul sebagaimana maksud sebuah hadith baginda SAW : “Aku adalah ketua bagi seluruh manusia anak keturunan Nabi Adam, ini bukan untuk membangga-banggakan diri”. Ia adalah suatu isyarat dan petanda bahawa Rasulullah SAW adalah yang paling utama daripada semua nabi di dunia dan akhirat.

Di dunia, Baginda SAW telah bersifat dengan akhlak yang luhur dan agung, maka di akhirat bagindalah yang paling afhal kerana balasan pahala mengikut ketinggian akhlak dan sifat yang mulia. Apabila Allah SWT melebihkan Rasulullah SAW di dunia dengan keperibadian dan sifat yang terpuji, maka Allah melebihkannya di akhirat dengan martabat dan darjat yang tinggi. Justeru keunggulan baginda di dalam soal akhlak dan perjuangan terbukti sehingga tercatat sebagai salah seorang Nabi Ulul Azmi sebagaimana firman Allah SWT :

“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-Rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan Rasul-Rasul (yang terdahulu daripadamu), dan janganlah engkau meminta disegerakan azab yang dijanjikan untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja daripada siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka”. (al-Ahqaf : 35).