Kami solat asar di Surau an-Nur Kampung Kabang, Papar. Suraunya comel, lokasinya tepi jalan kampung. Ini adalah kunjungan kali pertama bersolat di sini walaupun saya pernah berziarah ke kawasan ini beberapa tahun lepas atas undangan kenduri perkahwinan anak sahabat jamaah surau. Kebersihan di persekitaran agak sederhana tetapi di bahagian dalam surau lebih baik, agak bersih dan ceria.

Menerusi jadual aktiviti yang dipaparkan di luar surau berkenaan, nampaknya tiada aktiviti pengajian agama untuk dewasa kecuali hanya sekadar belajar hadrah dan kelas KAFA biasanya untuk kanak-kanak. Sekiranya mereka membaca entri ini, sukalah saya mencadangkan sekurang-kurangnya satu aktiviti kuliah antara maghrib dan isyak diadakan khususnya bagi pengajian aqidah dan feqah kepada masyarakat. Semoga masyarakat dapat beribadah dalam keadaan berilmu dan pembimbingnya boleh dibincang dengan JHEAINS atau guru-guru agama berdekatan.

Doa saya semoga surau ini terus makmur.