Ini adalah entri ketiga dan terakhir tentang Kg Rudang Kota Belud sempena kunjungan kami ke sana ahad lepas. Bermula dengan catatan program ceramah dan rawatan, kenduri dan kali ini tentang masjid pula, yang menjadi lokasi program ziarah, ceramah dan sesi rawatan perubatan Islam bersama penduduk kampung berkenaan. Kampung ini berjiran dengan kampung Merabau, Tawadakan, Kota Peladuk dan berada dalam DUN Tempasuk, Parlimen Kota Belud.

Kami dimaklumkan bahawa masjid ini – dahulunya hanya bertaraf surau – dibina pada zaman pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang pernah memerintah negeri antara tahun 1985 hingga 1994. (Menarik, bacaan saya tentang PBS yang baru berusia 47 hari kemudian menyertai pilihanraya 1985 kemudian menang 25 daripada 48 kerusi DUN Sabah menumbangkan kerajaan BERJAYA).

Tentang surau ini kata Tuan Haji Jamari, ia kemudian dinaik taraf kepada masjid setelah perbincangan diadakan bersama Tuan Haji Jamil Atan ketika beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah JHEAINS. Alhamdulillah, walaupun masjidnya sederhana sahaja, lokasinya sesuai di tepi jalan memudahkan penduduk kampung solat dan beribadah di dalamnya. Pemandangan sekitarnya juga sangat indah, dengan suasana sawah padi yang mulai menguning.

Kepada pengerusi JK Masjid Tuan Haji Maklin Haji Umbang dan Imam Rawatib Tuan Imam Butar Haji Adim serta seluruh JK masjid, kami mengharapkan agar program pengimarahan masjid dilakukan dengan lebih giat lagi agar masyarakat lebih cintakan masjid. Adakan program ziarah ke masjid atau surau lain untuk mempelajari dan mengambil pengalaman mereka bagaimana melonjakkan aktiviti di masjid kampung sendiri. Saya dimaklumkan kehadiran solat jumaat yang turun naik. Adakalanya tidak mencapai 40 orang dan adakalanya lebih daripada itu, sedangkan masjid ini boleh memuatkan sekitar 200 orang termasuk di ruang beranda.