Sedang saya berada di pejabat Maahad, rupanya di persekitaran Maahad Tahfiz berlaku satu ‘letupan’. (Saya tidak tahu hendak menamakan apa nama kejadian ini). Ia berlaku sekitar jam 5 petang isnin, ketika saya hendak mula keluar pulang. Rupanya di luar bangunan sudah penuh dengan habuk. Ia bukan habuk debu biasa, tapi habuk simen!

Sebenarnya maahad kami berjiran dengan sebuah kilang (?) simen, tegasnya bersebelahan. Suasana sejak pagi hingga petang sebenarnya bising dengan bunyian dari kilang berkenaan. Apabila bercerita tentang lokasi maahad ini, ramai menyangka dan menjangkakan ia terganggu dengan deruan kapal terbang yang turun naik kerana landasan berada di hadapan maahad, tetapi sebenarnya tidak.

Deruan bunyi di kilang bersebelahan ini lebih mengganggu telinga dan pendengaran hampir keseluruhan waktu siang. Tapi telinga-telinga siswa-siswi huffaz al-Quran di sini menjadi lali kerana suasana itu sudah berlaku setiap hari sejak maahad ini beroperasi di sini lagi. Selain daripada itu, sebenarnya lokasi maahad di Kepayan ini masih sesuai apatah lagi ada padang menghijau di sebelah lagi satu untuk para siswa mengisi masa petang dengan bermain bola.

Saya pernah diingatkan oleh Irwan, pemandu kami agar berhati-hati meletakkan kenderaan di kawasan Maahad kerana sesekali kilang berkenaan akan melepaskan ‘lahar’nya. Sesudah dua bulan setengah bertugas di sini, kejadian itu berlaku. Takdirnya, debu-debuan simen itu bertebangan ke arah maahad dan kereta saya berada dalam kedudukan yang paling dekat dengan kilang berkenaan. Saya berlari untuk memindahkan kereta dalam keadaan saya langsung tidak nampak apa-apa hadapan saya kecuali warna putih habuk saja.

Petang itu juga sesudah menjemput isteri dan anak-anak di sekolah, saya terus membawa ke premis cuci kereta ‘El Car Wash’ di Jalan Lintas. Nasihat Irwan, kena cepat ‘tembak’ dengan air sebelum simen melekat di kereta. Di persekitaran maahad, rumput hijau menjadi putih, bangunan dan cermin semuanya berhabuk. Baru saja sebelah paginya sebelum itu saya melihat makcik-makcik mengelap dan membersihkan kawasan sekitar. Kasihan mereka.