Alhamdulillah, pada ahad lepas saya menyertai serombongan kumpulan perawat dari Masjid Negeri Sabah ke Kampung Rudang Kota Belud atas undangan salah seorang ahli grup kami Tuan Haji Jamari Sikin. Tuan Haji Jamari yang berasal dari kampung berkenaan adalah warga JKR di Sembulan dan merupakan peserta Kuliah Perubatan Islam Masjid Negeri Sabah dan Darussyifa’ Sabah.

Musafir kami seramai 5 orang bermula jam 8.45 pagi dari Masjid Negeri Sabah diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan disertai oleh Tuan Haji Pozi Awang, Ustaz Ku Azam, Sdr Marjum Bandari dan saya sendiri. Kami tiba di kampung berkenaan sekitar jam 10 pagi dan sesi ceramah bermula setengah jam kemudian yang disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish.

Dalam ceramahnya antara lain beliau memaklumkan di hadapan 60-70 penduduk kampung yang hadir bahawa pengubatan Islam adalah termasuk dalam perkara yang diajar oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana sihat dan sakit adalah ujian Allah SWT kepada makhluknya, maka sebagai hamba kita sepatutnya menanganinya dengan cara yang betul juga. Mengisi waktu sihat dengan perkara yang baik dan menangani waktu sakit dengan cara yang betul juga.

Justeru kata ustaz, Islam mendidik kita dengan aqidah yang betul agar tidak bertemu dengan pawang yang amalannya bertentangan dengan ajaran Islam, memakai tangkal atau azimat, ataupun beriktiqad bahawa ubat dan doktor yang menyembuhkan penyakit, bukannya Allah. Selain itu, umat Islam mesti mengukuhkan aqidah dengan ilmu yang benar dan tidak membiarkan diri dalam kejahilan, sehingga apabila ditimpa suatu musibah atau penyakit, sewenang-wenangnya mencari sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Selepas ceramah ustaz, diadakan sesi rawatan secara percuma dan berhenti rehat untuk solat zuhur dan kenduri di rumah keluarga Tuan Haji Jamari yang berhampiran dengan lokasi masjid kampung mereka. Pada jam 2.30 petang, sesi rawatan disambung kembali dan berakhir menjelang waktu asar dengan keseluruhan 30 orang penduduk kampung yang diruqyah dengan ayat-ayat al-Quran dan doa daripada hadith-hadith Nabi SAW.

Dengan rasa syukur dapat membantu penduduk kampung, rombongan kami kembali selepas itu dan tiba di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada jam 6 petang.