Kuliah pagi ahad dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan solat hajat dan diikuti dengan majlis zikir yang dipimpin sendiri oleh Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Majlis zikir diisi dengan bacaan 33 ruqyah yang menjadi asas dalam pengubatan Islam Darussyifa’ yang juga dikehendaki dihafaz oleh semua ahli Darussyifa’. Majlis zikir diakhiri dengan doa yang diaminkan oleh semua peserta.

Program diteruskan dengan sesi kuliah. Tuan Guru seringkali mengingatkan kami tentang tiga syarat pengubatan iaitu menggunakan ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, bahasa yang difahami dan tidak mengandungi unsur syirik, dan ketiga kesembuhan adalah hak Allah SWT.

Dalam buku jilid kelima ‘Rawatan Penyakit Akibat Sihir’ tulisan Tuan Guru mencatatkan : “Ketika merawat pesakit yang disihir, perawat mesti mengenal pasti tanda-tanda gangguan makhluk halus terlebih dahulu. Jangan terburu-buru mengatakan bahawa pesakit disihir dan sebagainya. Perawat tidak dibenarkan membuat ramalan terhadap sesuatu penyakit yang dialami oleh pesakit. Ia boleh mengakibatkan perawat setaraf dengan golongan ‘kahin’ iaitu orang yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib dan ‘arraf’ iaitu peramal atau tukang tilik yang dibenci Allah SWT dan Rasulullah SAW seperti dijelaskan dalam hadtih :

“Sesiapa yang mendatangi Arraf (peramal atau tukang tilik) lalu bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam”

Selepas sesi kuliah dan soal jawab bersama Tuan Guru berakhir pada jam 10.40 pagi, sesi berikutnya disambung oleh anak beliau Puan Salwa Haron yang membincangkan berkenaan komunikasi. Di sini juga banyak ilmu yang bermanfaat dapat kami ambil terutama apabila berhadapan dengan pesakit yang datang memohon bantuan.

Kuliah berakhir pada jam 2 petang. Terima kasih kepada Tuan Guru, Puan Salwa, semua sahabat peserta yang hadir termasuk dari Labuan juga yang meluangkan masa bersama-sama.