Saya mengambil sedikit masa bercerita sebentar dengan Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok selepas habis kenduri tahlil arwah di perkarangan rumah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi petang ahad 15 Januari. Cerita kami antara lain berlegar tentang Allahyarham Datuk Haji Asmali, dirinya dan Masjid Negeri Sabah. Fokusnya berkenaan imam-imam Masjid Negeri Sabah.

Menurut Datuk Haji Mokhtar, Imam Besar Masjid Negeri Sabah yang pertama ialah (Allahyarham) Datuk Imam Pandin sejak tahun 60an sehingga tahun 1983. Masjid Negeri Sabah pada peringkat awal ialah Masjid Kg Sembulan sebelum berpindah ke Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang sejak tahun 1976. Menarik juga, Datuk Haji Mokhtar sendiri pernah terlibat sebagai tenaga buruh yang membina Masjid Negeri Sabah.

Beliau masuk bertugas sebagai Penolong Imam Besar pada 1979 dan tidak ramai yang tahu bahawa sebelum itu beliau adalah guru al-Quran di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah selama dua tahun. Apabila Datuk Imam Pandin mengundur diri kerana masalah kesihatan, beliau dilantik sebagai pemangku Imam Besar sekitar tahun 1983 tidak kurang 4-5 tahun juga, katanya. Banyak cerita menarik sebelum beliau naik sebagai imam besar kerana baginya ada tokoh yang lebih senioriti patut diketengahkan.

Beliau ada bercerita tentang Tuan Imam Haji Maarif Ansat dari Beaufort yang ketika itu sebagai penolong imam besar. Beliau seorang qari yang hebat pada zamannya dan saya pernah mendengar alunan tilawah beliau beberapa tahun lepas. Bakat beliau diturunkan kepada anaknya Ali Khairuddin yang kini bergelar Imam Muda Ali selepas menyertai Program Imam Muda ASTRO Oasis tahun 2011. Khabarnya ada satu komplot oleh orang-orang politik ketika itu (pertengahan 80an) agar Tuan Imam Haji Maarif disingkirkan dari Masjid Negeri Sabah. Pendek cerita, beliau akhirnya bertugas sebagai imam di Masjid Daerah Beaufort.

Dalam tempoh berkenaan, Haji Asmali Bachi (Allahyarham) dibawa ke Masjid Negeri Sabah sebagai Penolong Imam Besar. Selepas pengajian beliau di Maahad Tahfiz Kuala Lumpur berakhir, beliau dilantik sebagai guru besar di sebuah sekolah agama di Papar. Haji Asmali kemudian dipujuk ke Masjid Negeri Sabah dengan Datuk Haji Mokhtar Rapok bertugas sebagai Imam Besar pada tahun 1986 hingga 2002 dan Haji Asmali Bachi sebagai orang nombor dua.

Selepas itu, Datuk Haji Asmali mengambil alih sehingga 2004 sebagai Imam Besar dan Datuk Haji Mokhtar Rapok pula dalam tempoh itu ke Bahagian Pentadbiran Masjid dan Wilayah. Selepas itu Datuk Haji Asmali ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas dan Datuk Haji Mokhtar Rapok kembali ke Masjid Negeri Sabah sebagai Imam Besar buat kali kedua sehingga pertengahan tahun 2005.

Ustaz Haji Nahar Mantamin (Allahyarham) dari Bahagian Dakwah JHEAINS kemudiannya dibawa ke Masjid Negeri Sabah sebagai Imam Besar sehingga September 2008. Selepas itu, Ustaz Haji Ibrahim Kisab mengambil alih sehingga sekarang.

Advertisements