Khatib : Ustaz Musa Abbas

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru

Nabi SAW menyebutkan tentang lima golongan manusia berkaitan dengan kesungguhan dan kecintaan kepada ilmu. Satu golongan yang rugi dan binasa, manakala 4 golongan yang beruntung dalam hidupnya dan penjelasan kelebihan orang berilmu yakni para guru, orang yang  belajar (pelajar), orang yang mendengar (pendengar) dan orang yang mencintai orang alim, orang yang belajar dan mendengar. Dari Abu Bakrah RA dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud :

“Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu/guru) atau orang yang menuntut ilmu (belajar/pelajar) atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama ataupun orang yang mencintai (tiga golongan tersebut) dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa”. (HR Al-Bazzar).

Hadith ini menganjurkan supaya umat Islam berada dalam lingkungan 4 golongan dan tidak menjadi golongan binasa yang disebutkan oleh Nabi SAW, iaitu :

1. Menjadikan diri kita orang alim yang boleh mengajar.
2. Menjadikan diri kita orang yang sentiasa belajar.
3. Menjadikan diri kita orang yang suka mendengar syarahan/ceramah agama atau kelas-kelas agama.
4. Menjadikan diri kita orang yang suka/mencintai dan menghargai 4 golongan yang tersebut dengan mengikut jejak langkah mereka.

Amaran Nabi SAW jangan sekali-kali termasuk dalam golongan kelima, iaitu golongan yang binasa. Imam Al-Mawardi menyatakan : Bahawa orang yang menganggap ilmu Syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dari mendapat hidayah petunjuk serta dia termasuk dalam golongan yang kelima, golongan orang yang binasa.

Contohilah Nabi SAW dan jadikanlah Nabi SAW sebagai model pendidik yang terbaik. Sebenarnya untuk menjadi seorang guru, ustaz/ustazah atau seorang pendidik yang hebat, terbaik dan terbilang hanya Nabi SAW contoh teladan yang unggul. Antara ramai anak remaja di zaman Nabi SAW yang pernah mendapat didikan dan asuhan daripada Nabi SAW ialah Abdullah bin Abbas RA.

Beliau menceritakan pada satu hari aku bersama-sama Nabi SAW, baginda menyeru ku dengan menggunakan bahasa yang amat menarik, iaitu ‘wahai ghulam’ yang bermaksud ‘wahai anak’, supaya pemikiran tertumpu sepenuhnya kepada nasihat yang akan diberikan oleh baginda Nabi SAW. Gaya bahasa yang lunak dan halus ini menjadi daya tarikan kepada pelajar supaya pemikiran anak murid atau pelajar tertumpu sepenuhnya kepada nasihat atau ilmu yang akan disampaikan oleh guru yang mengajar. Malah Nabi SAW juga suka mengulang perkataan sehingga tiga kali supaya mudah difahami dan mudah diingati oleh para sahabat yang mendengar.

Demikianlah Islam memberikan panduan kepada umat Islam khususnya ibubapa, guru, pendidik dan para ustaz/ustazah agar mendidik anak bangsa kita dengan mengadunkan ilmu aqidah, Syariah dan akhlak mulia demi mencari dan merebut sebanyak-banyak pahala, keberkatan dan keredhaan di sisi Allah SWT dalam hidup ini.