Khatib : Ustaz Haji Ibrahim Kisab

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

kemodenan pembangunan dan cara hidup serta kecanggihan teknologi yang kita tempa hari ini nampaknya masih belum dapat meredakan dan menghakis kepercayaan khurafat dan tahyul dalam masyarakat kita. Buktinya, masih ada segelentir masyarakat kita yang mendatangi tukang tenung nasib, berjumpa bomoh, memuja objek atau tempat-tempat tertentu di samping mempercayai adanya alamat buruk pada peristiwa atau benda, hari, bulan dan tempat-tempat tertentu.

Antara kepercayaan khurafat itu termasuklah sangkaan yang mengatakan kalau berlaku hujan panas, kononnya ada orang yang mati dibunuh manakala kalau ayam berkokok pada waktu senja, kononnya ada anak gadis yang melahirkan anak luar nikah. Sesungguhnya, amalan bertenung nasib, berubat dengan dukun atau bomoh serta mempercayai adanya petaka pada sesuatu peristiwa, hari, bulan atau tempat merupakan sebahagian daripada khurafat yang diwarisi daripada zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam. Khurafat juga merangkumi cerita karut sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan menyimpang daripada ajaran Islam.

Kita sudahpun berada di bulan kedua Islam, iaitu Safar. Inilah bulan yang didakwa oleh segelintir masyarakat kita sebagai bulan membawa sial atau bulan di mana kononnya Allah menurunkan bala sebagai hukuman ke atas manusia. Oleh itu, mereka mempercayai banyak musibah dan bencana akan terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir.

Atas kepercayaan itu, golongan berkenaan melakukan sesuatu untuk menolak bala seperti mandi tolak bala dengan cara menulis wafak yang ditulis pada kertas atau papan atau daun kayu diletakkan dalam bekas air, kolam, perigi atau sungai atau laut. Kemudian mereka minum atau mandi air yang telah diletakkan surat wafak itu dengan harapan mendapat perlindungan daripada bala yang kononnya turun pada hari itu.

Di samping itu, ada juga yang mengelak mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana kononnya jodoh tidak kekal dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat. Malah ada juga yang percaya kononnya anak yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan perlu menjalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang berkenaan. Sesungguhnya, tanggapan buruk seperti itu berlaku sejak dahulu lagi dan ternyata masyarakat kita menerima dan mempercayainya tanpa usul periksa. Padahal, mengaitkan sesuatu musibah dengan peristiwa, hari atau bulan tertentu adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah SWT.

Syirik, khurafat dan tahyul yang masih berlaku dalam masyarakat kita hari ini membuktikan bahawa amalan jahiliah ini masih diwarisi oleh segelintir umat Islam zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid. Kenyataan ini adalah isyarat jelas bahawa kita sebagai Muslim wajib mendalami ilmu akidah Islam untuk memelihara kesucian akidah, kepercayaan, perkataan dan perbuatan daripada segala bentuk tindak-tanduk yang menyesatkan. Ilmu akidah Islam sajalah perisai utama yang boleh menyelamatkan seseorang Muslim daripada lembah kesesatan dan memimpinnya ke arah keredaan llahi dan kesejahteraan hidup dunia akhirat.

Tegasnya, benteng pertahanan aqidah perlu diperkuat dan diperkemaskan supaya tidak mudah terpedaya dengan godaan nafsu dan syaitan, selain menerapkan konsep amar makruf nahi munkar serta saling mengingatkan dalam kebaikan dan kebenaran. Semoga kita teguh dalam keimanan lurus sampai ajal tiba kelak.