Buku yang baru dibaca :

Penulis : Subky Abdul Latif

Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd

Harga: RM25.00/RM28.00

MEMOIR Politik Kewartawanan yang diberikan judul ANAK APAK, membentangkan pengalaman hidup dan pahit getir penulis sebagai anak keturunan Jawa di tengah-tengah masyarakat Melayu kampung ketika mula mengenal dunia dalam kesengsaraan musim Jepun melanda Tanah Melayu.

MEMOIR ini diberi judul ANAK APAK justeru Apak mahu mendidik dan menyekolahkan saya sepertinya dan kemudian keluar sebagai ahli ilmu agama mengikut jejaknya menjadi Tok Guru kepada masyarakat dan  ummah. Tetapi saya tidak menjadi Tok Guru seperti Apak. Ada sebabnya; kejatuhan ekonomi, sawah tidak menjadi, getah yang  menjadi sumber kemakmuran rakyat tiba-tiba tidak berharga lantaran  Perang Korea yang berlaku pada awal tahun 50-an.

Apak tidak menjadi aktivis politik dan tidak berminat dalam dunia persuratkhabaran tetapi saya menjadi wartawan dan aktivis politik sepenuh masa.

Saya terdedah dengan alam politik sejak zaman kanak-kanak dan boleh memahami politik sejak remaja, tetapi tidak pernah bercadang untuk menjadi orang politik. Pada saya ketika itu, adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Akan tetapi kekalahan teruk PAS di Kelantan pada hujung tahun 70-an sesudah berkuasa sejak tahun 1959 menyebabkan saya terasa seolah-olah demokrasi seperti akan berakhir di Malaysia.

Semoga Memoir ANAK APAK ini dapat memenuhi maksud sebuah penulisan buku berbentuk memoir dan dapat memberikan perkhidmatan dalam bidang penulisan memoir dalam persuratan  Melayu untuk tatapan masyarakat. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan Memoir ini.

Tentang Penulis

Subky Abdul Latif, dalam kad pengenalan dicatit sebagai Ahmad Subki bin Haji Abdul Latif. Lahir pada 28 Julai 1940 di Sungai Parit, Pasir Panjang Laut, Sitiawan. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, Lekir, Sitiawan dan sekolah swasta Mathodist Afternoon School, Sitiawan dan Mathodist Afternoon School, Pulau Pinang. Mendapat Diploma Kewartawanan di Projek Latihan Kewartawanan di Kuala Lumpur dan Institute Fur Journalismus, Berlin Barat. Penulis terkenal dengan  rencana dan penulis pojok Kumpulan Akbar Utusan Melayu; Pengasas akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah. Pernah menjadi AJK PAS Pusat  1983 hingga 2006.

Sumber : Kemilau Publika