Di sebalik pelbagai masalah dan kemelut, akhirnya Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah kini mendapat kompleksnya yang baru di Kinarut berjiran dengan kompleks Pasukan Gerakan Am  (PGA). Pada malam tadi diadakan satu majlis kesyukuran sempena perpindahan dan pembukaan kompleks sekolah yang baru ini. Kompleks bagi fasa 1 sekolah ini baru sahaja siap dan mula beroperasi pada 9 Januari lalu. Sekolah baru ini dibangunkan di tapak tanah seluas 30 ekar dengan kos RM20 juta yang terletak di Kinarut, 20 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu.

Antara tetamu kehormat yang menghadiri majlis berkenaan ialah  ADUN Kawang YB Datuk Ghulam Haidar Khan, Pegawai Daerah Papar Encik Iman Ali,  Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS Ustaz Haji Saifuddin Haji Daud, Pengetua Sekolah Ustaz Haji Ag Omar Pg Gana, pegawai-pegawai JHEAINS dengan majlis bacaan yasin dipimpin oleh Imam Daerah Papar, Imam Jaafar. Semua guru dan pelajar yang berjumlah lebih 500 orang turut hadir.

Ustaz Haji Ag Omar Pg Gana berkata, majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran bagi semua warga guru JHEAINS dan pelajar yang memulakan sesi persekolahan di sekolah baru. Harapannya agar para pelajar agar dapat menumpukan pelajaran mereka dengan tenang tanpa gangguan.  Katanya, walaupun terdapat beberapa kekurangan masih terdapat ianya bukanlah satu halangan bagi para pelajar meningkatkan kecemerlangan mereka, apa yang penting adalah kemahuan serta kesungguhan mereka dalam memperolehi kejayaan.

Nama sekolah ini akan sedikit berubah kepada Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah, KINARUT, setelah berpindah daerah dari Sembulan Kota Kinabalu ke Kinarut Papar. Untuk fasa berikut bagi pembinaan sekolah ini ia melibatkan pembesaran asrama putera dan puteri bangunan, rumah guru dan stadium sekolah tersebut, dan diharap dapat dilaksanakan tahun ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa Kinarut menjadi hub pendidikan di sini terletaknya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Menariknya di Kinarut ini juga terletaknya sebuah sekolah menengah agama di bawah kementerian pelajaran yang bernama SMKA Tun Mustapha mengambil sempena tokoh dan bapa kemerdekaan Sabah. Sementara nama sekolah Toh Puan Hajjah Rahmah adalah isteri Tun Datu Mustapha Datu Harun. Kini mereka sudah ‘berjiran’.

Foto lain menyusul …