Sebaik berdiri selepas memimpin bacaan doa dan tahlil arwah di perkarangan rumah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi, tanpa semena-mena dada saya menjadi sesak. Seperti ditekan-tekan. Saya menjadi tidak stabil. Beberapa teman yang hadir melihat situasi saya ketika itu. Jantungkah? Atau saya yang bimbang sendiri?

Sebenarnya saya hendak tumbang tapi saya gagahkan juga. Sempat juga makan tapi tidak habis, menahan diri dengan bercerita bersama tetamu-tetamu yang lain. Saya urut-urutkan dada sendiri tapi terasa sakit. Kenapa saya berdebar sangat? Sebabnya ketika itu saya berada di perkarangan rumah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi yang meninggal dunia beberapa hari lepas dengan asbab sesak nafas dan serangan jantung. Aku begitu jugakah?

Saya memandu sendiri kereta ke klinik. Pada mulanya hendak ke wad kecemasan Hospital Queen tapi malam-malam itu pun nampaknya kawasan sekitarnya sesak dengan kereta. Saya ke Poliklinik Permai di Jalan Lintas. Rupanya di sana juga sesak, khabarnya sebab restoran berhampiran menjadi kesukaan pelanggan. Dua kali juga saya berlegar mencari parkir. Hati saya berkata, sempatkah?

Dua kali saja menjalani pemeriksaan di klinik berkenaan. Kali pertama pemeriksaan biasa dan doktor kata 95% saya sihat. Saya lupa nama doktor cina itu. Katanya pemeriksaan sekali lagi menggunakan ECG. Saya lupa juga apa makna ECG. Tapi kebanyakan tubuh saya disambung dengan wayar ke mesin yang memeriksa jantung saya. Di dada, tangan dan kaki. Di sisi saya ada dua jururawat yang memasang, memeriksa dan kemudian mencabut kembali wayar-wayar tadi.

Doktor kata lain kali kalau sakit dada terus saja ke klinik atau hospital berhampiran. Saya pula mengambil tindakan yang lambat. Makan dulu, sembang-sembang dulu, kemudian memandu sendiri, tidak berhenti di hospital yang terdekat. Saya ke Lintas kerana sudah pernah berurusan di klinik berkenaan beberapa kali sebelum ini. Dahulu, usrah kami sudah membuat keputusan agar setiap ahli mengambil ruang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Ia hanya tinggal keputusan, entah adakah yang melakukan pemeriksaan berkenaan?

Doktor kata tidak perlu ubat apa-apa kerana saya tidak sakit. Tapi untuk memuaskan hati, saya minta juga ubat sapu. Konon-kononnya adalah ubat untuk saya bawa pulang. Benarlah nikmat sihat hanya dihargai bagi orang yang pernah sakit. Saya berdebar, apakah yang bakal saya bawa sekiranya Allah mencabut nyawa saya malam itu?