Rumah inilah menjadi lokasi yang Allah SWT telah membahagiakan beliau sekeluarga, bahkan kepada ramai orang juga. Ia kenangan berharga kepada ramai orang sejak pertengahan 80-an mereka sekeluarga menginap di sini sehingga ketua keluarga mereka meninggalkan rumah ini sejak pagi isnin 9 Januari 2012.

Rumah kecil kira-kira 22×30′ menjadi lokasi saya bermalam buat beberapa ketika, kami diberi ruang sebebasnya memasak, makan minum, keluar masuk dapur, tandas dan sebagainya. Bahkan saya mengetahui saudara mara dan orang kampung yang datang biasa bermalam di rumah ini. Ada juga saya ketahui saudara mara beliau yang bekerja sekitar KK, kemudian singgah di rumahnya untuk makan minum pada sebelah tengahari.

Di rumah ini kami selalu mengaji dan mengulang hafazan al-Quran dan peribadi saya selalu menghafaz al-Quran di sini, di hadapan tv dan di ruang belakang rumah. Saya khatam hafaz al-Quran di sini dan kemudian disuruh sujud syukur oleh Allahyarham. Di rumah ini saya melihat ramai orang dirawat oleh Allahyarham melalui pengubatan Islam yang beliau amalkan dan bantu orang lain. Tidak sedikit pesakit yang dirawat, jin dan makhluk halusnya meraung kesakitan dek dibacakan ayat-ayat al-Quran.

Allahyarham pernah menjadi Guru Besar Madrasah Islamiah Masjid Negeri Sabah, Timbalan Imam Besar, Pengetua Maahad Tahfiz yang pertama, Imam Besar Masjid Negeri Sabah dan Imam di Masjid Bandaraya, tetapi mereka tidak pernah berganjak dari sini kerana merasa selesa dengan rumah kecil ini. Di rumah kecil ini bersama isteri dan 7 anaknya mereka berjiran dengan 9 pintu rumah yang lain yang kebanyakannya adalah keluarga pemandu JHEAINS dan MUIS.

Inilah rumah kecil yang banyak memberi kenangan kepada kami dan ramai orang.

 ***

Sahabat kami sejak sekolah dan di Maahad Tahfiz, Imam Abdul Amir antara pelajar yang akrab dengan Allahyarham memimpin tahlil pada malam pertama, Datuk Haji Mokhtar Rapok memimpin pada malam kedua di perkarangan rumah kerana semakin ramai yang datang. Sementara saya mengetuai pada malam ketiga. Malam kedua dan ketiga itu turut dihadiri oleh Ybhg Datuk Haji Amri Suratman, Pengarah JHEAINS yang juga sahabat lama Allahyarham. Jiran-jiran sebaris terutama Imam Haji Isa, Abang Manja dan Abang Dahrin sekeluarga sangat membantu.