28/08/1948 – 09/01/2012

Suatu hari – antara tahun 97-99 – saya melihat ustaz Asmali lepak-lepak bersama pekerja-pekerja Masjid Negeri Sabah di tangga masjid. Ketika itu beliau adalah Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah yang pertama sekaligus Penolong Imam Besar Masjid Negeri Sabah. Ma’ahad Tahfiz yang kami adalah pelajar sulung, beroperasi di Masjid Negeri Sabah selama 5 tahun sebelum berpindah lokasi. Dari sisi kami, beliau kami panggil ‘ustaz’ berbanding kebanyakan orang memanggilnya sebagai ‘imam’.

Saya melihat beliau begitu mesra bersama para pekerja. Akrabnya sehingga sesetengah pekerja berani masuk ke pejabatnya untuk meminta atau meminjam pemetik api untuk rokok. Dari sisi lain, beberapa pekerja yang punya kereta sering menjadi pemandunya kerana beliau ketika itu tidak mempunyai sebarang kenderaan. Suatu kesempatan lain, saya bertemu dan bertanya kepada beliau :

“Kenapa ustaz rapat dengan pekerja?”

“Kau tau Mal, kalau kita mati, dioranglah yang akan usung kita”. Jawabnya.

Kata-kata beliau sangat memberi kesan dalam hati saya dan itulah antara yang saya ingati apabila melihat janazah beliau diusung dari Hospital Queen Elizabeth ke van janazah, dari van janazah ke bilik pemandian janazah di Masjid Negeri, dari bilik pemandian diusung pula ke dewan solat, dan dari dewan solat ke van semula sehingga beliau dibawa ke Kg Kelatuan Papar petang tadi.

Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.15 tengahari di wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth setelah dimasukkan ke sana sekitar jam 8.30 pagi tadi. Saya dimaklumkan beliau sesak nafas, selain penyakit asma dan gastrik yang sudah lama bersarang. Saya dapat maklum berita berkenaan beberapa minit kemudian, pertamanya oleh Imam Zulfauzi, kemudian saya dihubungi lagi oleh Puan Norliza (kerani Masjid Negeri), Suriani dan suaminya Mahmud. Ketiga-tiga mereka berada di lokasi ketika itu.

Kira-kira dua malam lepas, saya membelanjai makan durian bersama beberapa pelajar Maahad Tahfiz, tempat saya bertugas sekarang. Sambil makan-makan, saya menceritakan beberapa kaedah tarbiah yang dilakukan oleh guru-guru kami di Maahad kepada kami, khususnya oleh Ustaz Asmali. Saya menceritakan bahawa hubungan kami pelajar awal terutama lelaki sangat akrab dengan beliau. Saya, Rahim, Zamrul, Haji Yakob, Hafidz, Nazri, Razali, Kamaronnizam, kemudian Amir, Ibrahim, Awang Ibnu dan lain-lain.

Seolah-olah hanya ada garis lurus yang sangat halus antara pelajar dan beliau. Pagi-pagi, apabila beliau datang ke pejabat maahad, kami terus untuk masuk dan tasmik al-Quran tanpa perlu dipanggil lagi. Hubungan di luar maahad juga sangat akrab. Kami biasa masuk dan keluar ke rumah beliau untuk makan minum, bahkan biasa juga tidur di rumahnya. Hujung minggu, kami biasa bermain badminton bersama-sama beliau.

Bahkan ketika peringkat awal kami tinggal berjiran dengan beliau di rumah pemandu MUIS di Sembulan, kami ada ‘pintu rahsia’ yang kecil sehingga beliau boleh masuk pada bila-bila masa. Pada bulan Ramadhan, beliaulah yang memasakkan makanan sahur dan kemudian membangunkan kami untuk makan sahur bersama-sama. Di rumah beliau itulah kebanyakan kami khatam hafaz al-Quran dan kemudian disuruh sujud syukur kepada Allah SWT.

Kami dilatih untuk mengulang hafazan al-Quran beramai-ramai di ruang tamu rumahnya yang kecil buat beberapa tahun dan beliau ada bersama-sama kami. Ketika saya seringkali tidur di rumah beliau, jika saya terbangun di tengah malam atau awal pagi, seringkali saya ternampak dan terdengar suaranya membaca dan mengulangkaji hafazan al-Qurannya.

Itu antara kisah yang saya ceritakan kepada pelajar-pelajar saya tentang keakraban kami – dua hari sebelum pemergian guru yang sangat kami kasihi itu. Sungguh, ada ketika seperti tiada beza antara guru dan pelajar kecuali pada umur kami. Keakraban luar biasa itu bagaimanapun tidak mengurangkan penghormatan kami kepada beliau sebagai seorang guru al-Quran. Beliau bagi saya antara tokoh yang sangat kemas tajwid al-Qurannya, sangat tajam pendengarannya terhadap kesilapan bacaan al-Quran dan saya banyak berguru soal itu dengan beliau. Sebahagian kaedah pengajarannya dan keakrabannya dengan kami itu saya praktikkan pula kepada pelajar saya sekarang.

Barangkali kalau saya perlu sesali ialah dalam beberapa tahun kebelakangan ini saya kurang rapat lagi dengan beliau sekeluarga, sebahagiannya kerana kesibukan urusan kerja dan sebagainya. Kami hanya bertemu sesekali khususnya selepas solat fardhu atau jumaat atau ketika menghakimi tilawah al-Quran. Secara rasminya, beliau adalah penghafaz al-Quran yang keempat di Sabah, selepas Datuk Haji Abdul Ghafar Rijim, Ustaz Salleh Yakob dan Datuk Haji Mokhtar Rapok. Yang kelima ialah Allahyarham Ustaz Haji Shahrin Imran yang meninggal dunia awal Ramadhan lepas.

Beliau pernah menjadi Penolong Imam Besar dan Imam Besar di Masjid Negeri Sabah, Imam di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas selain salah seorang hakim Majlis Tilawah al-Quran Negeri Sabah di pelbagai peringkat jabatan, daerah dan negeri yang boleh menghakimi mana-mana bidang tajwid, fasohah, tarannum atau suara. Beliau juga adalah jurulatih atau pembimbing serta penemuduga imam-imam seluruh negeri Sabah.

Memanglah ada juga pendapat-pendapat beliau yang tidak saya persetujui tetapi kami tetap menghormatinya sebagai guru dan tokoh agama khususnya dalam bidang hafazan dan tajwid al-Quran. Penghormatan itu terbukti kelihatan hatta pemergiannya kerahmatullah ditangisi oleh ramai orang khususnya keluarga, jamaah masjid dan para pelajarnya. Saya teringat ungkapan beliau yang mengatakan beliau tidak punya harta yang banyak untuk ditinggalkan tetapi beliau mempunyai ramai anak murid dalam bidang pengajian al-Quran.

Ketika dimandikan, ramai turut serta membantu dan masing-masing bergilir-gilir menyiram, menggosok tubuh guru yang sudah terbujur kaku itu. Begitu juga ketika dikafankan ramai yang turut masuk ke bilik yang kecil itu untuk sama-sama berkhidmat kepada Allahyarham. Selesai dikafankan dan sebelum wajah beliau ditutup, semua ahli keluarga, anak murid dan jamaah yang ada dipelawa masuk untuk mencium beliau buat kali terakhir. Saya kira semuanya mengalirkan air mata mengenang detik perpisahan ini.

Imam Besar Ustaz Haji Ibrahim Kisab yang sejak awal membantu proses memandi dan mengkafankan janazah, kemudiannya mengimamkan solat janazah yang disertai kira-kira 500 jamaah yang berkesempatan hadir sekitar jam 2.20 petang. Ustaz Ibrahim juga adalah antara murid awal beliau di Maahad Tahfiz selepas kami. Antara yang kelihatan hadir juga ialah YB Datuk Haji Arifin Arif, ADUN Membakut, warga JHEAINS dan jamaah lainnya.

Van yang membawa janazah tiba di Taman Perkuburan Kg Kelatuan Papar sekitar jam 3.30 petang dan majlis pengkebumian bacaan talqin berakhir pada jam 4.20 petang dalam suasana hujan. Antara yang kelihatan hadir ialah YB Datuk Karim Bujang, para imam sekitar Papar, penduduk kampung dan anak-anak murid Allahyarham. Al-Fatihah.

RINGKASAN RIWAYAT HIDUP (Sumber : Jahabersa.com)

HAJI ASMALI BACHI dilahirkan di Kampung Kelatuan, Papar, Sabah pada 28hb Ogos, 1948, merupakan anak bongsu dari 8 orang adik-beradik. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Ugama Islam Kg. Buang Sayang, Papar, pada tahun 1970-1972. Pada bulan Jun 1972, dilantik menjadi Guru Ugama Islam Sabah. Pada tahun 1974 hingga 1976, beliau mengikuti kursus Al-Qur’an dengan Tuan Ustaz Hj. Saidin Othman, anjuran Majlis Ugama Islam Sabah. Pada tahun 1979-1980 dilantik menjadi Guru Besar Sekolah Ugama Islam Kg. Banting, Sipitang, Sabah oleh Majlis Ugama Islam Sabah.

Pada bulan Jun 1980 sehingga tahun 1983 melanjutkan pelajaran ke Maahad Tahfiz Al-Qur’an Wal-Qiraat Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur sehingga lulus Sijil Diploma Maahad Tahfiz Al-Qur’an Wal-Qiraat. Pada tahun 1984-1985 menjadi Guru Besar di Sekolah Ugama Islam Kg. Pengalat Kecil, Papar, Sabah. Pada tahun 1986-1994, dilantik sebagai Timbalan Imam Besar Masjid Negeri Sabah.

Pada tahun 1995-1996, dilantik menjadi Pengetua Maahad Tahfiz Al-Qur’an Wal-Qiraat Negeri Sabah di samping menjalankan tugas-tugas Timbalan Imam Besar Masjid Negeri Sabah dan juga sebagai Guru Besar Madrasah Islamiah Masjid Negeri Sabah.

Kenangan di bilik penghakiman sempena Saringan Akhir Tilawah Negeri Sabah 2011

Advertisements