Ini entri pertama pada tahun 2012.

Alhamdulillah, sudah 2 tahun rasanya tidak mengisi program di sini sejak saya diamanahkan kuliah tafsir setiap ahad malam isnin di Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut. Kiranya beberapa minggu sudah, timbalan pengerusi JK Surau, Ribbang Haji Ampong sudah menempah saya awal-awal dan saya bersetuju kerana terkenangkan jasa jamaah surau di sana.

Sebenarnya ada kesilapan di backdrop berkenaan. Ketiga-tiga kami yang tercatat adalah ahli panel forum manakala Sdr Ribbang bertindak sebagai moderator forum berkenaan. Ia berlegar tentang hijrah, azam, niat yang betul, cara menyambut tahun baru, dan masa depan umat Islam. Forum bermula lambat, iaitu sekitar jam 9 malam kerana didahului oleh ucapan Ketua Anak Negeri dan forum hanya berakhir jam 11 malam.

Saya terpaksa meninggalkan majlis sejurus forum berakhir walaupun ada acara lain yang diadakan penganjur. Majlis yang sangat baik khususnya untuk menjelaskan kepada masyarakat setempat tentang sambutan tahun baru. Cuma saya kira perlu ada lebih perbincangan di kalangan pimpinan surau, rukun tetangga dan lain-lain kerana, sejurus saya pulang, saya melalui gelanggang futsal kira-kira 100 meter dari surau berkenaan. Kehadiran di sana terutama anak-anak muda lebih ramai berbanding di surau, walaupun kehadiran di surau tidaklah terlalu mengecewakan.