Archive for Disember, 2011


SURAU KOMPLEKS KARAMUNSING

Apabila Ustaz Jumat albelurani ada menceritakan kerja-kerja meletak kiblat di Surau Kompleks Karamunsing, barulah saya tahu adanya surau di bangunan kompleks membeli belah berkenaan. Bercerita tentang lokasi dan sifat surau berkenaan, saya sangat berkenan sekali.

Ia berada di tingkat 10, benar-benar dekat dengan pintu lif. Jadi kedudukannya amat sesuai dan selamat. Cuma saya kurang pasti, ada atau tidak papan tanda arah untuk ke surau kerana saya sendiri tersilap tingkat sebelum itu. Surau berkenaan terbahagi dua bilik. Satu untuk lelaki dan satu untuk perempuan dipisahkan oleh pintu yang berlainan tapi bersebelahan. Hanya satu saya kurang setuju, kalau berdasarkan arah kiblat, surau untuk lelaki berada di belakang dan surau muslimat pula berada di hadapan.

Ruang dalam surau lelaki boleh memuatkan kira-kira 50 orang pada satu-satu masa. Hanya paip wudhu’ ada dua campur satu guna singki, satu rak kasut dan tempat sidaian kain pelikat dan sajadah. Secara keseluruhannya, ia bagus dan surau ini selesa dengan catatan menambah ruang wudhu’nya. Kalau ditukarkan  bilik solat itu – lelaki dan perempuan pun bagus juga. Semoga catatan ini menjadi panduan untuk umat Islam yang berurusan di bangunan ini untuk menunaikan solat di surau itu ini. Naik lif tingkat 10 ya.

Arena Futsal, Kota Bharu Kelantan :

Manjoi Ipoh Perak :

Masjid Bandar Baru Bangi, Selangor :

Masjid Bandar Baru Uda, Johor Bahru :

Masjid Negeri, Kuantan Pahang :

Masjid al-Falah USJ, Selangor :

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) :

Foto-foto disedut dari web dan facebook Ustaz Azhar Idrus, facebook peminat Ustaz Azhar dan sebagainya.

ABDUL HADI, 5 TAHUN

Dia menyambut ulangtahun ke-5 dalam ketika sudah mempunyai seorang adik lelaki, yang akan menjadi teman dan kawan untuk bermain dan bergaduh nanti. Kami selalu mewarwarkan dalam keluarga bahawa setiap seorang daripada anak pertama, kedua dan ketiga akan menjaga adik mereka keempat, kelima dan keenam.

Takdirnya rupa setiap mereka hampir sama pula dengan adik yang dijaga, jadi mereka menggelarnya kembar untuk masing-masing. Nuha jaga Lu’lu’, Hana jaga Aina’, dan Hadi jaga Ubay. Menjelang buka sekolah musim baru tidak lama lagi Abdul Hadi akan terus belajar di PASTI Nur Fathonah pada sebelah pagi, dan akan masuk darjah 1 di sekolah agama di Austral pada sebelah petangnya.

Pagi ini, diadakan acara mewarna untuk kanak-kanak jiran di sini, pertandingan tiup belon dan sebagainya sebelum acara potong kek pada sebelah tengahari. Banyak juga hadiah yang Hadi dapat, kebanyakannya tentang peralatan sekolah. Jimat, jimat!

Sebelum musim haji lepas, DJ Sabah FM Haji Maidan Hamzah ada menghubungi saya agar mencarikan beberapa qari qariah untuk dirakam tilawah al-Quran secara bertarannum beberapa siri. Maka tidak lama, saya carikan seorang qari dan seorang qariah. Meminta mereka bersedia dan menyediakan beberapa ayat untuk ditarannumkan.

Lama juga saya menanti pihak Sabah FM menghubungi saya semula. Entah jadi atau tidak. Rupanya Saudara Maidan menunaikan fardhu haji pada kumpulan Malaysia yang terakhir sekali. Sekitar seminggu dua lepas beliau baru kembali dan seterusnya menghubungi saya pula untuk menunaikan janji rakaman tersebut.

Saya bawakan Tuan Imam Aliuddin Matbee, Imam Qaryah Kg Sungai Padang Papar dan  Nur Faten Izzati, yang pernah mendapat tempat dalam MTQ Negeri Sabah. Masing-masing membuat dua rakaman yang memakan masa 10 minit untuk setiap satu. Penerbit rakaman itu ialah DJ Esna dan beliau meminta saya mencarikan beberapa qari lagi, dan masing-masing akan merakam lebih 25 set tilawah al-Quran.

Khatib : Ustaz Abdullah Musnih

Lokasi : Masjid al-Falah Kg Tebobon

Sabda Nabi SAW bermaksud : Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Manusia  yang dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota maka anggota lain turut merasakan. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi  saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita sahaja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain di biar dalam kemungkaran. Hadith Rasulullah SAW :

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya” (Hadith Riwayat Muslim)

Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat  yang dipupuk oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan oleh generasi terdahulu maka kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bilamana dilihat oleh seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa. Lebih dari itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak yang nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa.

Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana mereka sedar bahawa semua orang akan mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur. Berbeza sama sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini di mana konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka.

Masyarakat yang  prihatin,  saling tegur -menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, samaada melalui rukun tentangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen-kempen kesedaran. Dalam masa yang sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlakunya perkara-pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat.

Kerana itu, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita adalah syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Sedarlah bahawa kita tidak lagi hidup di dalam gua seperti di zaman purba, Kita hidup bermasyarakat, berkomoniti, berhubung antara satu sama lain , saling bergantungan ibarat pepatah “berat sama dipikul ringan sama di jinjing”.

Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara. Marilah kita bertanya kepada diri kita semua,  apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa yang sama akhlak manusiawi  runtuh roboh. Jika masyarakat bersikap prihatin,  isu -isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingatlah bahawa gejala sosial merupakan isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman.

Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan  rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Namun permasalah ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap keakuan dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya. Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dahulu.

Terkejut juga saya apabila dihubungi oleh Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu (IPD KK) beberapa hari lepas untuk mengisi slot tazkirah ‘Hijrah’, PDRM bersama masyarakat di Masjid al-Falah Kg Tebobon pagi semalam, sebelum solat fardhu Jumaat.

Saya difahamkan majlis itu adalah cetusan idea BAKA IPD KK agar warga PDRM turut mendekati masyarakat melalui masjid yang sememangnya menjadi lokasi dan institusi penting bagi umat Islam seluruhnya. Saya melihat kemeriahan majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh ACP Ahmad Sofi Haji Zakaria, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ASP Yusof Zaki Mat Yacob selaku Pengerusi Lembaga Dakwah Polis IPD KK yang sememangnya sudah saya kenali sejak 4-5 tahun lalu, seluruh JK Masjid al-Falah dan penduduk kampung berkenaan.

Tazkirah saya sekitar 35 minit sahaja, walaupun banyak lagi ingin saya sampaikan tapi untuk sesi semalam, saya berpuas hati dengan masa berkenaan. Saya dahulukan dengan perintah menuntut ilmu melalui hadith yang terkenal itu, dengan harapan semua pihak mendukung majlis-majlis ilmu khususnya berkaitan fardhu ain sama ada di masjid, surau, pejabat-pejabat dan sebagainya. Kedua ialah berkaitan membetulkan niat dalam setiap aktiviti kehidupan, walaupun zahirnya nampak baik tetapi Allah SWT tidak sekadar memandang amalan tetapi hati dan niat seseorang juga.

Pengukuhan terhadap kefahaman agama Islam sama ada berkaitan aqidah, syariah dan akhlak akan menjadikan umat Islam sebagai contoh terbaik sekaligus meringankan tugas PDRM kerana kadar jenayah yang rendah. Seorang yang memahami aqidah Islam tidak akan mencuri kerana Allah Maha Melihat, malaikat berada di kiri dan kanan, serta amalannya akan dipersoalkan pada hari kiamat walaupun ketika hendak mencuri tiada polis, tiada cctv dan sebagainya.

Saya juga memberi contoh dalam hal ehwal akhlak atau tasauf, walaupun polis boleh bertindak atas jenayah fizikal seperti mencuri, merompak, menyamun, membunuh melalui pelbagai akta dan undang-undang, tetapi polis tidak dapat bertindak atas penyakit hati seperti riya’, ujub, takbur, sombong, bangga diri dan sebagainya. Ia hanya dapat dibetulkan dengan kefahaman dan pendidikan agama dalam setiap diri hamba Allah.

Selepas tazkirah berkenaan, pihak masjid menyampaikan senarai ahli rakan cop kepada ASP Ahmad Sofi sebagai satu sokongan dan kerjasama penduduk kampung kepada pihak keselamatan. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan oleh pihak penganjur (khususnya sahabat lama Ustaz Abdullah Musnih dan teman-temannya) dan saya dapat ramai sahabat baru daripada kalangan pegawai dan anggota polis, tetamu yang lain serta penduduk kampung.

Foto menyusul..

Suasana penuh ceria tapi santai menghiasi majlis makan malam akhir tahun Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah di Hotel Beverly Karamunsing dua malam lepas. Kami tidak sampai 50 orang pun merangkumi siswa siswi, para pensyarah, pentadbiran dan beberapa tetamu istimewa kami. Saya memilih untuk duduk bersama para siswa dengan niat untuk lebih mengenali mereka dan bersembang santai berkenaan hal-hal peribadi. Maklumlah, saya orang baru.

Ia bukan semata-mata makan malam kata Mudirah, Puan Hiryanti kerana beberapa penghargaan, anugerah pelajar cemerlang dan anugerah khas pengetua disampaikan kepada mereka. Tahniah kepada semua penerima, semoga menjadi pencetus kegemilangan maahad pada tahun 2012 pula kepada semua siswa siswi.

“Kami pernah juga ada orang ambil gambar, masuk tv pun pernah, kononnya mau tolong kami, tapi tiada apa-apa pun”.

Itu antara kenyataan salah seorang gelandangan yang kami temui, apabila saya meminta izin mereka untuk bergambar bersama-sama. Mohon dijauhkan Allah SWT daripada kami hanya bersikap mempopularkan sedikit kebaikan yang dibuat dengan niat yang tidak baik dan kemudian bersikap tidak istiqamah pula dalam membantu mereka. Saya tidak mahu ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Ini catatan kedua tentang mereka, walaupun sudah tiga kali kami berziarah. Alhamdulillah, selain mendukung misi kami bertiga – Wan, PakNik dan saya – kami juga sebenarnya sedang memikul amanah ramai penyumbang. Suatu ‘kuasa’ facebook, dalam tempoh belum seminggu apabila saya bercerita tentang gelandangan di bandaraya Kota Kinabalu ini, kami menerima lebih sedikit RM1000 untuk sebagai bajet menampung pembahagian makan minum mereka.

Ya, seminggu dua kali. Khamis malam jumaat dan ahad  malam isnin. Kami bergerak sekitar jam 10 malam ke atas. Ada kalanya awal, ada kalanya lewat sedikit. Walaupun ada bajet yang dikirimkan orang ramai khususnya teman-teman fb saya, kami bertiga berbincang untuk masa ini mendahulukan duit kami selagi termampu dan akan memanfaatkan duit berkenaan terutama musim-musim sesak nanti.

Kali kedua dan ketiga berziarah, masih bertemu sebahagian gelandangan lama dan ada juga yang baru. Kami teringat ada yang pernah mengelak kami dan kemudian menghilangkan diri. Sesudah kali kedua dan ketiga, lelaki berkenaan tidak lagi bersembunyi. Wajah-wajah kami juga sudah mula mereka ingati. Asasnya saya memperkenalkan diri kami bertiga untuk mereka ingat nama kami (walaupun sesekali disertai oleh teman-teman baru). Cikgu Nik, Wan dan saya memperkenalkan diri sebagai ustaz.

Juga ada orang baru yang kami baru kenal pasti lokasi mereka. Percayakah saudara, ada dua lelaki yang tidur di celah-celah pokok bunga? Itu yang kami temui di Bandaran Berjaya. Mereka berdua bukan menganggur, mereka mencari tin-tin dan botol mineral kosong untuk dijual. Kami bertemu Wandis berumur 50 tahun, muslim bangsa dusun berasal dari Kuala Penyu. Dia masih bujang dan katanya pendapatan yang terlalu kecil tidak mampu untuk menampung kos sewa bilik dan kos berkaitan seperti air dan api.

MAKRUH

Kami menyantuni pakcik Din berasal dari Kota Marudu yang sedang mabuk setelah minum montoku. Asalnya saya sendiri bimbang kalau beliau melawan kerana ada cerita yang macam-macam tentang dia. Maklumlah mabuk. Tidak banyak saya tanya pada awalnya. Tapi akhirnya saya tanya nama dan asalnya juga. Dia kata dia muslim.

“Muslim MUIS”, katanya. Saya melihat botol montoku di sisinya. Barangkali dia perasan.

“Tapi saya minum ini. Makruh saja”. Hampir saja saya ketawa.

Kami juga bertemu Mawi dari Kundasang yang baru dua bulan bergelandangan. Kerjanya sehingga beroleh duit ialah menjaga dan mengira markah meja billiard. Itulah yang membolehkan dia makan minum setiap hari. Kadang kala ada juga koceknya kontang kerana kerja yang tidak tetap. Insya Allah catatan lain akan menyusul sedikit demi sedikit untuk perkongsian bersama.

Siapa sudi, bantulah kami. Tenaga dan kewangan.

Wan (kanan) dan Raynold.

Cikgu Nik dan saya bersama gelandangan di satu lokasi.

Ada sedikit masa yang terluang pada akhir petang selasa saya berziarah sendirian ke bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk melihat-lihat ‘Penyertaan Awam’ terhadap pameran Deraf Pelan Tempatan Kota Kinabalu 2020 (KKLP 2020)  di tingkat 1 bangunan DBKK. Rupanya pameran Deraf KKLP 2020 ini telah berlangsung sejak  September lalu dan berakhir pada akhir bulan ini.

Deraf ini dimaklumkan terbuka kepada pemeriksaan awam dalam tempoh penyediaan dan pindaan berikutnya nanti. Pelan ini disediakan oleh perunding bagi pihak Jabatan Perancangan Bandaraya, DBKK. Menurut maklumat yang saya baca, sekiranya pengunjung mempunyai sebab untuk tidak bersetuju dengan pelan berkenaan dengan sebarang alasan, pengunjung perlu mendapatkan penjelasan bertulis daripada DBKK.

Jika tidak bersetuju juga, pengunjung perlu menyerahkan bantahan bertulis kepada Mayor DBKK dengan menyatakan alasan bantahan, dan perubahan yang dicadangkan. Sebenarnya DBKK ada menyediakan borang bantahan atau boleh muatturun borang ‘online’ untuk tujuan komen atau bantahan. Bantahan juga diterima melalui emel, faks, atau surat serta membuat pengesahan terhadap setiap bantahan yang diterima.

SIAPA YANG HARUS MELAWAT?

Setiap penduduk bandaraya Kota Kinabalu terutama pemilik tanah, arkitek, jurutera, juruukur, perancang bandar, ejen hartanah, pemaju, pengurus bank, pelajar dan sebagainya.

Soal pameran ini, hanya satu saja yang saya kurang setuju dan sudah saya tegur, iaitu penggunaan bahasa inggeris secara 100 peratus dalam pamerannya. Adakah ia menunjukkan mereka memang benar terlepas pandang, atau tidak mahu memartabatkan bahasa melayu, atau tidak mahu orang kampung yang tidak pandai atau kurang mahir berbahasa inggeris untuk membaca, memahami dan seterusnya memberi respon terhadap pelan deraf berkenaan?

Bukankah mereka semua berhak untuk memberikan pendapat?

Selain Deraf KKLP 2020, turut diadakan ialah pameran Pelan Struktur Kota Kinabalu 2030.

Penerbit : Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Buku yang bertajuk “Negara Berkebajikan : Tawaran PAS” itu merupakan penjelasan dan perincian terhadap kandungan konsep negara berkebajikan yang mahu ditawarkan PAS.  Buku setebal 59 muka surat itu mengandungi tujuh bahagian antara lain memuatkan penjelasan konsep negara berkebajikan, teras-teras utama, polisi-polisi umum dan 10 agenda permulaan jika PAS diberi mandat bersama Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial. Bahagian 10 agenda permulaan pula memperincikan tawaran PAS antara lain seperti berikut :

1- Kerajaan beramanah, adil dan bersih
2- Masyarakat penyayang , aman dan bersatu
3- Ekonomi mampan, seimbang dan saksama
4- Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai
5- Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai
6- Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat
7- Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral
8- Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela
9- Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia
10- Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari

Sementara itu, buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Tuan Guru Abdul Hadi sendiri yang bertajuk “Konsep Asas Negara Berkebajikan” yang telah dilancar sebelum ini. Kedua-dua buku ini adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkan beliau dalam muktamar tahunan PAS ke 57 baru-baru ini yang bertemakan Membangun Negara Berkebajikan.

%d bloggers like this: