Khatib : Ustaz Zulfauzi Ag Besar

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Sayugianyalah setiap Muslim memanfaatkan sebaik mungkin usia, ilmu, harta, tubuh badan dan pelbagai nikmat lagi yang dikurniakan Allah untuk beribadat dan berbakti kepada-Nya menurut undang-undang dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ini penting dilakukan memandangkan pada hari akhirat nanti kita akan ditanya sejauh mana dan bagaimana kita telah memanfaatkan nikmat-nikmat berkenaan semasa hidup di dunia. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud :

“Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (HR at-Tirmizi).

Kualiti atau prestasi segala amal ibadat serta usaha kita yang  bersangkut-paut soal hubungan kita dengan Allah SWT mahupun hubungan kita dengan makhluk-makhluk Allah yang lain khususnya sesama manusia perlu ada peningkatan dari hari ke hari. Ini kerana, meskipun usia kita semakin meningkat, namun hakikatnya jangka hayat kita di dunia ini semakin berkurangan.

Apabila sampai waktu kita dijemput oleh malaikat pencabut nyawa, ia tidak akan dapat ditangguhkan atau dipercepatkan walau sesaat sekalipun. Maka, rugi dan celakalah mereka yang mensia-siakan ruang dan kesempatan untuk hidup di dunia ini jika tidak memanfaatkannya untuk memperbaiki kualiti atau prestasi amal ibadat dan usahanya kerana sesungguhnya amal dan usaha kita di dunia menjadi penentu bentuk ganjaran yang bakal diterima di akhirat kelak.

Sebaliknya, berbahagia dan berjayalah mereka yang sentiasa bersungguh-sungguh, tekun, ikhlas dan sabar dalam memperbaiki segala amal ibadat dan usahanya pada setiap masa bagi mencapai keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Tahun 2011M hampir melabuhkan tirainya, dan akan menyongsong pula tahun baru 2012M. Melangkah  masuk ke tahun baru membawa banyak erti kerana ia ibarat membuka buku catatan hidup baru untuk tahun seterusnya. Fasa peralihan ke tahun baru ini sering dikaitkan dengan azam atau cita-cita dan harapan baru yang ingin dicapai dalam tahun baru yang menjelang.

Kerana itulah pasti ada yang akan bertanya, apa azam tahun baru anda?

Maka, kedengaranlah berbagai-bagai jawapan yang diberikan, ada yang munasabah pada pendengaran, dan tidak kurang pula yang terlalu tinggi dari jangkauan. Lain orang, lain pula azam barunya. Yang pasti, tidak perlu azam atau impian yang terlalu tinggi, memadailah apa yang difikirkan mampu atau munasabah untuk dicapai dalam tempoh setahun mendatang.

Jika mengimpikan sesuatu yang besar dan sukar dicapai, maka ukurlah baju di badan sendiri supaya ia tidak menjadi sekadar angan-angan kosong. Yang penting, perlu ada kesungguhan dan usaha yang berterusan untuk menggapai apa yang diimpikan dengan diringi doa ke hadrat Ilahi Rabbi memohon reda dan perkenan-Nya akan matlamat yang dicitacitakan.

Telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita menyambut tahun baru masihi dengan mengadakan berbagai-bagai majlis. Antaranya mengadakan majlis yang diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian dan sebagainya di samping makan minum. Selain itu, ada juga yang meraikannya dengan mengadakan pesta mandi-manda di pantai pada malam ambang tahun baru kononnya untuk mencuci dosa setahun lalu.

Sesungguhnya pesta mandi-manda di pantai dan apa jua majlis yang mencambahkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan serta tidak menitikberatkan soal memelihara aurat adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Amalan berpesta bercampur lelaki dan wanita adalah budaya negatif masyarakat Barat yang jelas jauh dari adat, budaya dan tatasusila seorang Muslim.

Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup mana-mana masyarakat (khususnya golongan kuffar) yang boleh menjejaskan akidah dan akhlak ummah. Ini kerana, perbuatan meniru dan mewarisi amalan atau perbuatan yang bercanggah dengan ajaran dan syariat Islam meletakkan seseorang itu menyerupai kaum berkenaan lantas boleh mencampakkan dia dalam kekufuran.