1. Saya masih baru dalam dunia blog. Baru bermula pada julai tahun 2008, kira-kira tiga setengah tahun yang lalu. Dalam tempoh itu saya masih mencuba dan mencuba. Pernah saya catatkan, harapan saya di awal pembinaan blog ini kalau blog saya hanya dilayari oleh kawan-kawan dan keluarga terdekat sehari dalam 15 orang pun sudah best!

2. Blog ini secara asasnya mencatatkan aktiviti dakwah yang melibatkan saya dan kawan-kawan. Sama ada saya menjadi penceramah, atau jadi pemandu kepada penceramah, atau sekadar hadir di majlis ceramah dan tangkap gambar. Ia kemudian dikembangkan sedikit demi sedikit tentang aktiviti atau perkembangan dakwah di mana sahaja yang saya ingin hebah dan kongsikan. Ya, yang penting saya suka dengan aktiviti itu dan saya mahu berkongsi dengan pembaca.

3. Sejak akhir-akhir ini, saya tidak dapat menafikan kesibukan dan keletihan yang menimpa saya. Terutama sejak dua bulan di Maahad, jujurnya saya letih dengan otak yang terpaksa ligat mengingati hafazan anak-anak didik saya yang baik-baik dan comel-comel ini. Pagi dengan kelas tasmik, selepas itu kelas subjek tertentu dan sebelah petang kami mengulangkaji hafazan dan saya menjadi pemantau mereka.

4. Sebelah maghrib saya berkuliah dan ada kalanya selepas isyak mempunyai aktiviti lain. Ada kelas mengaji al-Quran, menghadiri kuliah selepas isyak di Masjid Negeri (mana-mana yang sempat), mesyuarat aktiviti bersama sahabat-sahabat, sehingga lewat malam. Bahkan aktiviti terkini ialah bertemu dan menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada para gelandangan. Ia aktiviti yang dilakukan sekitar 11 malam keatas, kerana waktu sebelumnya sebahagian mereka belum berada di lokasi berkenaan.

5. Ada masanya memang saya berada awal di rumah sekitar 8.30 malam jika selesai kuliah maghrib dan tiada aktiviti sesudahnya. Antara masa yang sendat, saya pulang antara 2-3 pagi. Konon-kononnya saya mahu sesudah itu mahu mengemaskini blog, memasukkan artikel dan cerita terbaru, tapi kadang-kadang belum pun pintu kereta dibuka, saya tertidur di tempat duduk kereta. Adakalanya, baru masuk ke pintu rumah, saya duduk di sofa, baru membuka laptop dan mata saya pun tertutup sehingga pagi. Kalau naik ke bilik, saya tidak tahan dengan godaan tilam dan bantal walaupun kadang-kadang saya tertidur di atas lantai.

6. Maafkan saya kerana membuatkan ramai pembaca tertunggu-tunggu. Saya wajar berterima kasih kepada kalian kerana untuk tahun 2011, statistik blog ini berjumlah 235,288 kemasukan dengan purata harian seramai 645 pengunjung. Jumlah terendah pada 2011 ialah pada januari seramai 14,628 dan yang paling ramai pada 27,549 pada bulan november. Ia tidaklah seramai pengunjung blogger terkenal Mazidul Akmal Sidek atau Dr Kamil Ibrahim yang saya suka membaca entri-entri mereka. Walaubagaimanapun ia jauh lebih ramai berbanding hasrat awal saya yang bercita-cita jumlah pembaca seramai 15 orang sehari!

7. Sekadar yang saya maklum dan diakui sendiri oleh khalayak pelayar blog ini, dengan rendah diri saya mensyukuri atas perkongsian maklumat ini. Sekadar menyebut beberapa nama, terima kasih saya kepada pembaca blog ini daripada kalangan teman-teman penjawat awam dan swasta, penduduk bandar dan kampung. Terima kasih kesudian seorang mekanik, abang nelayan, anak muda di Kota Belud, pak imam di daerah Pitas, tuan peguam di Kota Kinabalu, para ibu suri rumahtangga, pelajar-pelajar sekolah, siswa-siswi Azhariyyun di Mesir dan Jordan (khususnya) dan lokasi U lain di seluruh negara, teman ‘penggali’ minyak di ceruk Sudan, ketua-ketua jabatan (semoga mereka tersenyum) dan seluruh pembaca yang dikasihi.

8. Tahun 2012, saya berazam untuk memperbaiki masalah-masalah ini dan menaiktaraf isi kandungan di dalamnya dengan catatan : ia tidak akan selesai serta merta, tetapi berdikit-dikit dan bersederhana, bimbang-bimbang saya tidak dapat menunaikannya kalau azam terlalu tinggi. Antara cadangan setelah saya berbincang dengan beberapa teman blogger ialah :

* Blog ini akan kekal dengan nama dan niat asalnya, (sebagai pintu gerbang) tetapi pemilikannya akan saya kongsikan dengan sahabat rapat yang boleh saya percayai. Mungkin sebahagian artikel sesekali akan disumbangkan atau diedit oleh sahabat saya ini untuk kerja-kerja kemaskini. Saya memerlukan orang yang sefikrah, tahu cara penulisan saya dan yang penting juga minat dunia blog serta tahu adab-adabnya. Mungkin jika perlu ada pembahagian tugas, saya hanya kemaskini artikel melibatkan aktiviti peribadi dan dakwah saya, sementara dia mengemaskini entri isu semasa dan lain. Bila bermula,  bergantung kepada perbincangan dan persetujuan bersama. Siapa dia, terpaksa dirahsiakan atas permintaan beliau kerana ingin membantu menurut kemampuannya.

* Saya juga sedang belajar-belajar mengedit video untuk saya kongsikan bersama di blog ini. Sebenarnya sudah lama saya ada handycam sendiri, sudah banyak merakam aktiviti ceramah atau kuliah, tetapi tidak berkesempatan untuk mengedit dan mengongsikannya di blog ini. Ya, sedangkan update blog saja saya sudah keterbatasan masa, tetapi saya tetap mahu mencuba dan meneroka ilmu baru. Insya Allah Abu Nuha Corner akan membuat akaun youtube sedikit masa lagi.

* Saya mengambil sedikit masa juga untuk meninjau semula ruang-ruang yang boleh diedit di dalam blog ini. Barangkali mau merubah warna tema, sekadar untuk menceriakan pandangan pembaca; juga menambahkan butang ‘share’ agar lebih ramai dapat berkongsi penulisan ini dan mengetahui catatan terbaru terutamanya melalui facebook nanti.

9. Sebenarnya tidak banyak perubahan kecuali latar dan perkongsian blog. Insya Allah selebihnya akan berjalan seperti biasa. Terima kasih atas kebersamaan semua. Saya kira cukup sekadar itu dahulu, nanti akan ditambah lagi jika perlu..