Sumber : http://www.islam.gov.my/konvensyen-saudara-muslim-peringkat-kebangsaan-tahun-2011

Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan tahun 2011 telah berjaya dilaksanakan pada 22 hingga 24 Disember 2011 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu. Ia merupakan program ketiga yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama MAIDAM dan Yayasan Taqwa. Program ini merupakan wadah yang disediakan oleh JAKIM bagi Saudara Muslim untuk bertemu dan bertukar-tukar pengalaman  serta memperoleh maklumat  yang berguna dalam menjalani kehidupan seharian seorang Muslim.

Penganjuran Konvensyen ini  bukan sahaja melibatkan peserta dari semua Jabatan / Majlis Agama Negeri, Badan Berkanun Badan Bukan Kerajaan ( NGO ), dan lain-lain agensi yang bergiat cergas dalam bidang dakwah bahkan juga menjadi medan kerjasama strategik antara JAKIM, JAIN / MAIN dan NGO Islam.

Perasmian Konvensyen telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM mewakili YB Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapannya beliau menegaskan setiap Saudara Muslim perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat iman dan Islam untuk menjadi umat yang teguh dan berusaha gigih untuk memajukan diri sendiri dengan membina semangat baru dalam menghayati semangat hijrah. Turut hadir memberikan ucapan aluan ialah YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM, sementara Majlis Penangguhan Konvensyen pula disempurnakan oleh Tuan Haji Wan Harujan bin Sulaiman CEO MAIDAM.

Konvensyen yang dihadiri seramai 800 orang Saudara Muslim Malaysia ini disusun dengan pengisian ilmu seperti pembentangan kertas kerja dan wacana minda serta pembentangan resolusi untuk memantapkan pengetahuan Saudara Muslim dalam memenifestasikan Islam sebagai cara hidup. Sebanyak 12 resolusi yang dipersetujui telah dibentangkan oleh YBhg. Haji Abdul Nasir bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah sepertimana berikut;

  1. Bersetuju supaya konvensyen seumpama ini dapat diteruskan pada setiap tahun mengikut giliran negeri.
  2. Bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa penyelarasan pendaftar-pendaftar mualaf (saudara muslim) seluruh Malaysia dan mencadangkan juga supaya NGO-NGO Islam dijemput untuk turut serta.
  3. Bersetuju supaya ditubuhkan sekretariat dakwah kepada non-muslim peringkat kebangsaan yang melibatkan JAIN, MAIN, Jabatan-jabatan Kerajaan Berkaitan, dan NGO’s Islam.
  4. Melatih pendakwah-pendakwah dari kalangan saudara muslim dari pelbagai bangsa.
  5. Menganjurkan retreat dakwah kepada non-muslim secara berkala sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
  6. Bersetuju supaya ahli jawatankuasa masjid memberi perhatian dari segi pendidikan agama dan kebajikan kepada saudara muslim di qariah masjid berkenaan khususnya yang baru memeluk Islam.
  7. Bersetuju supaya ahli jawatankuasa masjid berperanan untuk berdakwah kepada pelancong-pelancong asing dari kalangan bukan Islam.
  8. Bersetuju supaya JAIN/MAIN mewujudkan rumah-rumah perlindungan kepada saudara muslim yang baru memeluk Islam dan memerlukan perlindungan sementara.
  9. Bersetuju supaya JAIN/MAIN menubuhkan Pasukan Sukarelawan Dakwah dari kalangan pelbagai bangsa khususnya bertujuan untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh saudara muslim.
  10. Bersetuju supaya ditubuhkan Kelab Sahabat Saudara Muslim seluruh Malaysia yang diurusetiakan oleh JAKIM.
  11. Mengoptimumkan penyebaran dakwah melalui internet atau dikenali sebagai techno-dakwah.
  12. Pendidikan untuk saudara muslim perlu dipertingkatkan melalui pelbagai cara antaranya melalui pendekatan usrah.

Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua peserta khususnya Saudara Muslim. Rata-rata peserta yang ditemui berasa begitu gembira dengan program seumpama ini dan berharap ia akan diadakan lagi pada masa-masa yang akan datang.