Archive for 28 Disember 2011


SURAU DI KOMPLEKS STAR CITY

Kompleks Star City bersebelahan dengan Asia City adalah satu lagi kompleks membeli belah di Bandaraya Kota Kinabalu. Bagi sesetengah orang Star City terkenal dengan sebuah dewan konferen yang besar yang selalu digunakan untuk acara-acara makan malam atau persidangan melibatkan ribuan orang. Di sini juga ada jualan barang-barang kraftangan tempatan yang banyak dijual di aras bawah.

Tengahari ini saya jalan-jalan di sini untuk membuat sedikit tinjauan beberapa perkara. Secara tidak sengaja sebenarnya saya terjumpa surau untuk muslimat di tingkat satu setelah sebelum itu ternampak tanda arah ke surau secara umum sahaja. Rupanya surau untuk muslimin (lelaki) terletak di atasnya, aras 2, perlu naik tangga berdekatan sahaja. Tanda arah di surau lelaki menuju ke surau wanita ada diletakkan, tetapi tiada tanda arah di surau wanita untuk ke surau lelaki, dan saya kira pihak pengurusan wajar memperbaiki keadaan ini.

Suasana dalam surau sederhana sahaja, tidak terlalu bersih dan tidak pula terlalu kotor. Ia boleh memuatkan kira-kira 15-20 orang pada satu-satu masa.  Ia terletak di hujung bangunan, berdekatan dengan kawasan parkir kereta, tetapi agak jauh juga bagi mereka yang berniaga atau bertugas di hujung yang satu lagi. Saya kira pihak pengurusan juga wajar memanggil Pejabat Mufti Negeri Sabah untuk ditentusahkan kiblatnya.

Mudah-mudahan catatan ini memudahkan pengunjung di Star City untuk menunaikan solat khususnya antara zuhur ke isyak pada waktunya di surau yang telah disediakan.

MAJALAH Q&A

Q&A adalah sebuah majalah untuk rujukan kehidupan dan penerokaan ilmu dalam bentuk soal & jawab berlandaskan Al-Quran & As-Sunnah. Produk terbaru Galeri Ilmu Sdn Bhd. Rungkaikan persoalan, perbetulkan amalan agar luruslah jalan menuju Tuhan. Pengisian mantap daripada barisan penulis berwibawa.

Antaranya ialah Prof Dr Muhaya Mohammad, Prof Madya Dr Asmadi Mohamed Naim, Ustaz Mohd Shukri Haji Ali, Ustaz Kazim Elias, Ustaz Rujhan M. Razali, Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid, Syeikh Habib Hassan al-Attas, Syeikh Zainul Asri Haji Ramli, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Muhadir Haji Joll, Ustaz  Mohd Nazrul Abdul Nasir, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah dan ramai lagi.

Saya catatkan semula sebahagian tulisan Ustaz Zul Ramli selaku editor eksekutif :

Inspirasi daripada Kitab Furu’ul Masa’il karangan Syeikh Daud al-Fatani dan kitab soal jawab yang lain, maka tampillah majalah Q&A ini. Ia adalah penerokaan ilmu dalam bentuk soal jawab (Question & Answer). Q&A menghidangkan ilmu dalam bentuk sedikit berbeza. Secara umumnya, bahan bacaan yang berada di pasaran berbentuk esei. Menimba ilmu dengan konsep sebegini sama seperti duduk di hadapan seorang guru yang memberi kuliah.

Sebagai pembaca, kita seolah-olaj menjadi pendengar pasif dan setia. Sesekali persoalan di dalam sesebuah artikel begitu berat untuk dihabiskan bacaannya. Otak mudah penat apabila membaca sebuah artikel panjang; akhirnya kita tinggalkan saja makalah itu terdampar di dada majalah. Kalau ini berlaku, kita sebenarnya membeli helai-helai kertas, bukan bahan bacaan ilmiah kerana tidak berjaya mengekstrak ilmunya!

Sebaliknya, dengan persembahan ilmu dalam Q&A ini, kita seperti berada di dalam sebuah majlis diskusi. Sesuatu persoalan akan jadi lebih segar kerana ia adalah soalan-jawapan kepada soalan-jawapan yang lain. Ia adalah advancer ilmiah yang menarik! Menghabiskan bacaan sesebuah kolum akan jadi begitu mudah kerana jarak yang pendek di antara soalan dan jawapan.

Mengapa Q&A 

*Sebuah majalah yang mengajak pembaca membesarkan Allah dan syariat-Nya.

*Menjawab persoalan kehidupan seharian anda berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

*Pendekatan yang responsif dan interaktif.

*Dikuatkan pandangan ulama muktabar lagi amilin, berdasarkan disiplin dan tradisi ilmu yang mantap.

*Membantu meluruskan fikiran dan menjernihkan hati.

*Kupasan menarik dan mudah.

*Persembahan dan rekabentuk yang simple, tetapi menarik.

%d bloggers like this: