Di sekitar Kampung Air Kota Kinabalu kami menemui dua gelandangan. Kampung Air, bukanlah sebuah kampung tetapi satu kawasan penuh dengan bangunan dan blok-blok kedai yang meriah di Bandaraya Kota Kinabalu. Kawasan ini selalu dimeriahkan dengan gerai-gerai pasar malam, peniaga-peniaga jalanan dan tukang-tukang urut jalanan. Bukan satu rahsia, di kawasan ini terletak lorong-lorong pelacuran dan kegiatan pondan khususnya selepas tengah malam.

Kampung Air khabarnya memang berasal daripada sebuah kampung atas air. Ia sedikit demi sedikit ditumbuhi bangunan-bangunan perniagaan dan memusnahkan kawasan perkampungan walaupun namanya masih kekal dengan nama Kampung Air.

Tidak banyak maklumat yang kami perolehi daripada dua pakcik hidup bergelandangan ini. Salah seorangnya kelihatan tidur di kawasan hentian teksi. Saat kami tiba, beliau bangun dan kencing merata di hadapan laluan orang ramai. Beliau tidur semula dan tidak peduli dengan orang lain. Waktu sudah tengah malam, suasana masih meriah di sini. Kami tidak berhajat membangunkannya, hanya sekadar meletakkan sebungkus makanan dan sebotol air mineral.

Seorang pakcik lagi terbaring di tepi kaki lima. Kami datang dan Wan menghulur sebungkus makanan itu. Beliau tidak mahu bercakap, tapi jelas sangat kelaparan. Kasihannya sebelah tangannya sakit, jadi dia sukar untuk membuka bungkusan makanan dan kuahnya yang dibungkus asing. Wan membantu membuka bungkusan dan penutup botol air mineral. Dari jauh kami perhatikan, sehingga habis dia menyuap makanan, akhirnya dia membersihkan sendiri cebisan dan sisa baki yang ada. Jelas, beliau itu pembersih orangnya.

Ada beberapa orang ‘menginap’ di Walai Koubasanan. Bilangan mereka tidak menentu. Kadang-kadang sekadar seorang dan boleh meningkat sehingga 3-4 orang. Salah seorangnya bekas tentera yang berhenti sejak tahun 2000 setelah hampir 10 tahun berkhidmat di Lok Kawi. Sejak itu bergelandangan di kawasan Padang Merdeka dan apabila dihalau, dia mencari tempat lain. Dia bekerja sebagai tukang promosi bas ke pedalaman dan diberikan sedikit komisyen. Katanya dia tidak mampu untuk membayar sewa bilik dan kos-kos lain, jadi bergelandangan adalah lebih mudah kerana tiada komitmen sebarang bil. Cuma saya lihat mereka pandai menjaga kebersihan.

Kami pernah meninjau-ninjau di sebuah taman berhadapan Mahkamah Tinggi. Terserempak dengan dua orang lagi yang sedang nyenyak tidur. Seorang tidur di atas rumput seperti  gaya orang mabuk kerana bau arak yang jelas terhidu dari mulut dan tubuhnya. Makanan kami saat itu sudah habis, hanya kami meletakkan di sisinya air mineral. Seorang lagi tidur di bangku simen, lagaknya seperti musafir yang mungkin menunggu bas keesokan pagi. Kami letakkan juga di sisinya sebotol air.