Sebelum musim haji lepas, DJ Sabah FM Haji Maidan Hamzah ada menghubungi saya agar mencarikan beberapa qari qariah untuk dirakam tilawah al-Quran secara bertarannum beberapa siri. Maka tidak lama, saya carikan seorang qari dan seorang qariah. Meminta mereka bersedia dan menyediakan beberapa ayat untuk ditarannumkan.

Lama juga saya menanti pihak Sabah FM menghubungi saya semula. Entah jadi atau tidak. Rupanya Saudara Maidan menunaikan fardhu haji pada kumpulan Malaysia yang terakhir sekali. Sekitar seminggu dua lepas beliau baru kembali dan seterusnya menghubungi saya pula untuk menunaikan janji rakaman tersebut.

Saya bawakan Tuan Imam Aliuddin Matbee, Imam Qaryah Kg Sungai Padang Papar dan  Nur Faten Izzati, yang pernah mendapat tempat dalam MTQ Negeri Sabah. Masing-masing membuat dua rakaman yang memakan masa 10 minit untuk setiap satu. Penerbit rakaman itu ialah DJ Esna dan beliau meminta saya mencarikan beberapa qari lagi, dan masing-masing akan merakam lebih 25 set tilawah al-Quran.