Dia menyambut ulangtahun ke-5 dalam ketika sudah mempunyai seorang adik lelaki, yang akan menjadi teman dan kawan untuk bermain dan bergaduh nanti. Kami selalu mewarwarkan dalam keluarga bahawa setiap seorang daripada anak pertama, kedua dan ketiga akan menjaga adik mereka keempat, kelima dan keenam.

Takdirnya rupa setiap mereka hampir sama pula dengan adik yang dijaga, jadi mereka menggelarnya kembar untuk masing-masing. Nuha jaga Lu’lu’, Hana jaga Aina’, dan Hadi jaga Ubay. Menjelang buka sekolah musim baru tidak lama lagi Abdul Hadi akan terus belajar di PASTI Nur Fathonah pada sebelah pagi, dan akan masuk darjah 1 di sekolah agama di Austral pada sebelah petangnya.

Pagi ini, diadakan acara mewarna untuk kanak-kanak jiran di sini, pertandingan tiup belon dan sebagainya sebelum acara potong kek pada sebelah tengahari. Banyak juga hadiah yang Hadi dapat, kebanyakannya tentang peralatan sekolah. Jimat, jimat!