Terkejut juga saya apabila dihubungi oleh Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu (IPD KK) beberapa hari lepas untuk mengisi slot tazkirah ‘Hijrah’, PDRM bersama masyarakat di Masjid al-Falah Kg Tebobon pagi semalam, sebelum solat fardhu Jumaat.

Saya difahamkan majlis itu adalah cetusan idea BAKA IPD KK agar warga PDRM turut mendekati masyarakat melalui masjid yang sememangnya menjadi lokasi dan institusi penting bagi umat Islam seluruhnya. Saya melihat kemeriahan majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh ACP Ahmad Sofi Haji Zakaria, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ASP Yusof Zaki Mat Yacob selaku Pengerusi Lembaga Dakwah Polis IPD KK yang sememangnya sudah saya kenali sejak 4-5 tahun lalu, seluruh JK Masjid al-Falah dan penduduk kampung berkenaan.

Tazkirah saya sekitar 35 minit sahaja, walaupun banyak lagi ingin saya sampaikan tapi untuk sesi semalam, saya berpuas hati dengan masa berkenaan. Saya dahulukan dengan perintah menuntut ilmu melalui hadith yang terkenal itu, dengan harapan semua pihak mendukung majlis-majlis ilmu khususnya berkaitan fardhu ain sama ada di masjid, surau, pejabat-pejabat dan sebagainya. Kedua ialah berkaitan membetulkan niat dalam setiap aktiviti kehidupan, walaupun zahirnya nampak baik tetapi Allah SWT tidak sekadar memandang amalan tetapi hati dan niat seseorang juga.

Pengukuhan terhadap kefahaman agama Islam sama ada berkaitan aqidah, syariah dan akhlak akan menjadikan umat Islam sebagai contoh terbaik sekaligus meringankan tugas PDRM kerana kadar jenayah yang rendah. Seorang yang memahami aqidah Islam tidak akan mencuri kerana Allah Maha Melihat, malaikat berada di kiri dan kanan, serta amalannya akan dipersoalkan pada hari kiamat walaupun ketika hendak mencuri tiada polis, tiada cctv dan sebagainya.

Saya juga memberi contoh dalam hal ehwal akhlak atau tasauf, walaupun polis boleh bertindak atas jenayah fizikal seperti mencuri, merompak, menyamun, membunuh melalui pelbagai akta dan undang-undang, tetapi polis tidak dapat bertindak atas penyakit hati seperti riya’, ujub, takbur, sombong, bangga diri dan sebagainya. Ia hanya dapat dibetulkan dengan kefahaman dan pendidikan agama dalam setiap diri hamba Allah.

Selepas tazkirah berkenaan, pihak masjid menyampaikan senarai ahli rakan cop kepada ASP Ahmad Sofi sebagai satu sokongan dan kerjasama penduduk kampung kepada pihak keselamatan. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan oleh pihak penganjur (khususnya sahabat lama Ustaz Abdullah Musnih dan teman-temannya) dan saya dapat ramai sahabat baru daripada kalangan pegawai dan anggota polis, tetamu yang lain serta penduduk kampung.

Foto menyusul..