Khatib : Ustaz Abdullah Musnih

Lokasi : Masjid al-Falah Kg Tebobon

Sabda Nabi SAW bermaksud : Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Manusia  yang dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota maka anggota lain turut merasakan. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi  saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita sahaja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain di biar dalam kemungkaran. Hadith Rasulullah SAW :

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya” (Hadith Riwayat Muslim)

Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat  yang dipupuk oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan oleh generasi terdahulu maka kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bilamana dilihat oleh seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa. Lebih dari itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak yang nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa.

Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana mereka sedar bahawa semua orang akan mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur. Berbeza sama sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini di mana konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka.

Masyarakat yang  prihatin,  saling tegur -menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, samaada melalui rukun tentangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen-kempen kesedaran. Dalam masa yang sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlakunya perkara-pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat.

Kerana itu, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita adalah syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Sedarlah bahawa kita tidak lagi hidup di dalam gua seperti di zaman purba, Kita hidup bermasyarakat, berkomoniti, berhubung antara satu sama lain , saling bergantungan ibarat pepatah “berat sama dipikul ringan sama di jinjing”.

Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara. Marilah kita bertanya kepada diri kita semua,  apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa yang sama akhlak manusiawi  runtuh roboh. Jika masyarakat bersikap prihatin,  isu -isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingatlah bahawa gejala sosial merupakan isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman.

Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan  rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Namun permasalah ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap keakuan dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya. Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dahulu.