Saya tidak tahu keseluruhan ini cerita khususnya daripada peringkat awal perkenalan dengan individu yang dimaksudkan, namun apa yang saya tahu pun tidak akan saya catatkan semuanya di sini untuk menjaga hati dan kepentingan beberapa pihak.

Seorang sahabat kami tanpa dirancang, pernah membantu seorang muallaf ini yang kebetulan dalam kesempitan. Pendek cerita peristiwa itu menyebabkan ada hubungan peribadi antara mereka. Beberapa hari sebelum ini mereka kembali berhubung semula dan dia memberi komitmen untuk membantu memperkukuh sebuah organisasi dengan penyertaan rakan-rakannya daripada kalangan muallaf. Apa yang mengejutkan dia mendakwa sudah mengumpul lebih 200 teman-temannya sebagai ahli.

Saya mendengar kisah itu dengan beberapa sikap. Hendak kata tidak percaya, macam iya juga. Sebabnya saya hairan begitu banyak orang yang dihubunginya untuk menjadi ahli dalam masa yang singkat, muallaf pula tu! Dalam masa yang sama, kalau kata tidak mahu percaya, bukankah Allah boleh mengubah hati orang untuk berubah? Daripada suka kepada benci, daripada benci kepada suka, daripada marah kepada sayang, dan sebagainya. Jadi akhirnya saya diamkan saja.

Dalam tempoh itu, lelaki berkenaan ada meminta sumbangan kepada pihak sahabat saya ini untuk disampaikan kepada muallaf lain yang dalam kesusahan. Khabarnya jika ada muallaf yang bermasalah, lelaki berkenaan akan menghubungi atau menghantar sms dengan menyatakan kisah-kisah penderitaan muallaf dengan  begitu terperinci sekali, seolah-olah ia benar-benar belaku.

Perancangan dibuat untuk mengadakan makan malam (jadual asal ialah malam tadi) untuk meraikan mereka dengan dihadiri oleh beberapa VIP. Di peringkat akhir, saya sendiri ada bertemu dengan lelaki berkenaan dan dia mengatakan mengenali beberapa pegawai di Bahagian Dakwah JHEAINS, bahkan ada yang dianggapnya sebagai bapa angkat kerana keakrabannya. Katanya sebahagian besar kos akan mereka tanggung dan dia hanya meminta RM1400 untuk beberapa kos awal. Jadi jumlah itu juga diberikan kepadanya.

Selain makan malam yang mengumpulkan kira-kira 200 orang muallaf, sebahagiannya daripada luar Kota Kinabalu, sebahagian mereka akan menyertai kursus keindahan Islam yang saya diminta mengurusnya. Bersama beberapa sahabat, saya merancang sepanjang ahad (hari ini) untuk memberi kuliah teori dan praktikal solat, kuliah maghrib dan sembang santai. Tiada apa-apa kos ditetapkan untuk program ini.

Selepas isyak kami pergi ke lokasi yang dijanjikan untuk makan malam. Laluan sesak, di hati saya gembira juga sehingga saya sukar mencari parkir kereta. Bahkan saya banyak melihat tetamu kalangan tionghua, sebahagiannya seksi pula. Hati saya berkata-kata : Hebat juga mereka promosi program makan malam untuk muallaf sampai yang seksi-seksi pun datang juga!

Gembira itu tidak lama. Belum sempat saya mendapat parkir, teman-teman keluar dari bangunan berkenaan dengan wajah serius dan berkata : Kena sabotaj! Atau dengan kata lain : Kena tipu! Tiada satu pun dewan berkenaan yang digunakan untuk makan malam kami, melainkan acara peribadi seperti majlis hari jadi. Patutlah amoi tadi pakai seksi! Kami berangkat ke sebuah restoran lain di Karamunsing untuk makan-makan sesama kami pula. Panas hati ada, geram ada, tergelak pun ada!

Kesilapan kami barangkali teruja sangat hendak membantu manusia itu, apatah lagi berstatus muallaf sehingga lupa hendak menyemak latar belakang peribadinya. Barangkali ada kebimbangan begini : Dia muallaf, kalau tidak ditolong, nanti pihak-pihak lain pula (khususnya agama lain) yang menghulur bantuan. Apabila pihak lain yang menolong, mahunya muallaf tersebut murtad atau dimurtadkan, nanti orang Islam sendiri pula dituduh tidak menjaga kemaslahatan muallaf.

Walaubagaimanapun, ia satu pengalaman berharga buat kami yang terlibat untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan. Memanglah ‘title’ muallaf sering juga menjadi asbab orang ramai membantu mereka, maka tanpa prejudis sesiapa pun wajar berhati-hati. Apapun saya berharap ini satu kes yang terpencil, dan peribadi saya tidak pernah mengabaikan golongan ini, sedayanya mahu membantu menurut kemampuan.