Archive for 18 Disember 2011


RONDA TAMU JALAN GAYA

Lamanya tidak ke Tamu Gaya. Rasanya sepanjang tahun 2011 ini baru 2-3 kali ini saja.

Ada dua misi sebenarnya, pertama hendak mengambil gambar sebagaimana pernah saya buat sebelum ini. Suasana gelagat orang di sini, warna warni barangan yang dijual dan sebagainya, apatah lagi kadang-kadang bertemu dengan orang yang dikenali tanpa diduga sangat menyeronokkan. Antaranya saya terserempak dengan Ustaz Dhiya’uddin yang berasal dari Jordan, sahabat baik Allahyarham Ustaz Haji Nahar dan Ustaz Haji Nor Azamuddin. Ustaz Dhiya’ pernah bertugas di Kota Kinabalu kini mengajar di Singapura dan berulang alik pada hujung minggu di Melaka kerana beristerikan orang sana.

Terserempak juga dengan beberapa jamaah masjid sekitar Kota Kinabalu dan Putatan yang masing-masing berurusan di sini bersama keluarga masing-masing. Ada juga di antara peniaga itu ialah seseorang seperti rupa melayu Islam yang sedang mengajar orang ramai cara-cara memilih nombor ekor. Heh! Ada ada saja. Ramai pula peminatnya tu. Barangkali yang membuat teruja apabila saya dimaklumkan rombongan Ahli Parlimen Pokok Sena YB Datuk Haji Mahfuz Omar berada di sekitar Tamu Gaya juga. Jadi apa lagilah, saya pun follow!

Misi kedua ialah untuk membeli anak-anak ayam untuk dibela di reban sebelah rumah. Memang di Tamu Gaya antara tempat saya membeli anak-anak ayam, selain di Tamu Kinarut setiap sabtu. Hari ini saya beli 30 ekor anak ayam, masing-masing sepuluh ekor ayam kambing, ayam telur dan ayam kacukan. Yang ada di reban rumah tinggal 4-5 ekor ayam dewasa ayam kampung dan ayam telur yang memang bertelur setiap hari. Hanya sepasang binatang ini yang saya beli tanpa dirancang, iaitu labi-labi! Hehehe…

Saya tidak tahu keseluruhan ini cerita khususnya daripada peringkat awal perkenalan dengan individu yang dimaksudkan, namun apa yang saya tahu pun tidak akan saya catatkan semuanya di sini untuk menjaga hati dan kepentingan beberapa pihak.

Seorang sahabat kami tanpa dirancang, pernah membantu seorang muallaf ini yang kebetulan dalam kesempitan. Pendek cerita peristiwa itu menyebabkan ada hubungan peribadi antara mereka. Beberapa hari sebelum ini mereka kembali berhubung semula dan dia memberi komitmen untuk membantu memperkukuh sebuah organisasi dengan penyertaan rakan-rakannya daripada kalangan muallaf. Apa yang mengejutkan dia mendakwa sudah mengumpul lebih 200 teman-temannya sebagai ahli.

Saya mendengar kisah itu dengan beberapa sikap. Hendak kata tidak percaya, macam iya juga. Sebabnya saya hairan begitu banyak orang yang dihubunginya untuk menjadi ahli dalam masa yang singkat, muallaf pula tu! Dalam masa yang sama, kalau kata tidak mahu percaya, bukankah Allah boleh mengubah hati orang untuk berubah? Daripada suka kepada benci, daripada benci kepada suka, daripada marah kepada sayang, dan sebagainya. Jadi akhirnya saya diamkan saja.

Dalam tempoh itu, lelaki berkenaan ada meminta sumbangan kepada pihak sahabat saya ini untuk disampaikan kepada muallaf lain yang dalam kesusahan. Khabarnya jika ada muallaf yang bermasalah, lelaki berkenaan akan menghubungi atau menghantar sms dengan menyatakan kisah-kisah penderitaan muallaf dengan  begitu terperinci sekali, seolah-olah ia benar-benar belaku.

Perancangan dibuat untuk mengadakan makan malam (jadual asal ialah malam tadi) untuk meraikan mereka dengan dihadiri oleh beberapa VIP. Di peringkat akhir, saya sendiri ada bertemu dengan lelaki berkenaan dan dia mengatakan mengenali beberapa pegawai di Bahagian Dakwah JHEAINS, bahkan ada yang dianggapnya sebagai bapa angkat kerana keakrabannya. Katanya sebahagian besar kos akan mereka tanggung dan dia hanya meminta RM1400 untuk beberapa kos awal. Jadi jumlah itu juga diberikan kepadanya.

Selain makan malam yang mengumpulkan kira-kira 200 orang muallaf, sebahagiannya daripada luar Kota Kinabalu, sebahagian mereka akan menyertai kursus keindahan Islam yang saya diminta mengurusnya. Bersama beberapa sahabat, saya merancang sepanjang ahad (hari ini) untuk memberi kuliah teori dan praktikal solat, kuliah maghrib dan sembang santai. Tiada apa-apa kos ditetapkan untuk program ini.

Selepas isyak kami pergi ke lokasi yang dijanjikan untuk makan malam. Laluan sesak, di hati saya gembira juga sehingga saya sukar mencari parkir kereta. Bahkan saya banyak melihat tetamu kalangan tionghua, sebahagiannya seksi pula. Hati saya berkata-kata : Hebat juga mereka promosi program makan malam untuk muallaf sampai yang seksi-seksi pun datang juga!

Gembira itu tidak lama. Belum sempat saya mendapat parkir, teman-teman keluar dari bangunan berkenaan dengan wajah serius dan berkata : Kena sabotaj! Atau dengan kata lain : Kena tipu! Tiada satu pun dewan berkenaan yang digunakan untuk makan malam kami, melainkan acara peribadi seperti majlis hari jadi. Patutlah amoi tadi pakai seksi! Kami berangkat ke sebuah restoran lain di Karamunsing untuk makan-makan sesama kami pula. Panas hati ada, geram ada, tergelak pun ada!

Kesilapan kami barangkali teruja sangat hendak membantu manusia itu, apatah lagi berstatus muallaf sehingga lupa hendak menyemak latar belakang peribadinya. Barangkali ada kebimbangan begini : Dia muallaf, kalau tidak ditolong, nanti pihak-pihak lain pula (khususnya agama lain) yang menghulur bantuan. Apabila pihak lain yang menolong, mahunya muallaf tersebut murtad atau dimurtadkan, nanti orang Islam sendiri pula dituduh tidak menjaga kemaslahatan muallaf.

Walaubagaimanapun, ia satu pengalaman berharga buat kami yang terlibat untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan. Memanglah ‘title’ muallaf sering juga menjadi asbab orang ramai membantu mereka, maka tanpa prejudis sesiapa pun wajar berhati-hati. Apapun saya berharap ini satu kes yang terpencil, dan peribadi saya tidak pernah mengabaikan golongan ini, sedayanya mahu membantu menurut kemampuan.

%d bloggers like this: