Barangkali saya antara ribuan mereka yang turut bergembira dengan keputusan pihak berkenaan untuk mengadakan bangunan sendiri untuk Sekolah Agama Rakyat Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang yang kini masih sebumbung dengan masjid. Meski pun saya bukan jamaah tetap di masjid berkenaan, tetapi sesekali ada juga timbul di sini dan sepanjang 2011 ada 2-3 kali dijemput sebagai khatib oleh imam masjid berkenaan.

Sedikit nostalgia, isteri saya pernah mengajar beberapa ketika di sekolah berkenaan. Jadi saya sering juga berulang alik menghantar dan mengambil pada waktu petang. Sesekali saya solat asar di sini. Teman-teman lama juga ramai yang berjemaah di sini dan saya kerap berurusan dengan mereka, antaranya Ustaz Haji Abdullah Din, Ustaz Mohd Khidir Ishak dan Che’gu Jamil Dayan.

Saya dimaklumkan keperluan mengadakan bangunan sendiri sekolah agama begitu mendesak sekali. Selain kesedaran dan sokongan ibu bapa menghantar anak-anak, saya difahamkan ruang solat masjid itu sendiri perlu diperbesarkan merangkumi ruang bilik-bilik darjah yang berada di sebelah belakang memandangkan kehadiran untuk solat jumaat khususnya semakin sesak. Difahamkan juga cita-cita untuk mendirikan bangunan sekolah berkenaan di sebelah kiri masjid sudah kedengaran 4-5 tahun lepas (mungkin juga lebih awal daripada itu).

Khabarnya pelancaran pecah tanah berjalan dengan baik oleh Ybhg Pengerusi JK Masjid berkenaan dihadiri oleh jamaah masjid termasuk para penyumbang. Dana pembangunan menelan belanja jutaan ringgit disumbangkan oleh umat Islam yang ingin melihat tertegaknya sebuah kompleks sekolah agama untuk menampung para pelajar di sana.

Tapi sumber yang saya dengar selepas itu khabarnya pembinaannya pula  bermasalah. Tanah berkenaan pula disewakan kepada pihak lain. Apabila kawasan berkenaan dipagar, ramai jamaah yang begitu gembira sekali kerana menyangka projek akan bermula. Namun begitu, saya berdoa semoga apa jua masalah akan diselesaikan secepat mungkin dan tiada niat yang menyeleweng daripada cita-cita asal membina sekolah yang diimpikan oleh umat Islam.

Klik foto bawah untuk lebih besar.