Jujurnya saya mendapat inspirasi daripada dua orang.

Pertamanya apabila saya membaca aktiviti dan projek bantal yang dianjurkan oleh selebriti dan blogger Mazidul Akmal Sidik melalui blog beliau. Saya mendapat maklum tidak kurang 100 orang gelandangan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Mazidul dan kawan-kawannya melancarkan projek bantal dan ramai pelayar blog beliau yang memberikan sumbangan.

Keduanya, saya pernah menonton seimbas lalu di tv satu program memberi makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur oleh sekumpulan anak muda. Tidak pula saya ingat kumpulan berkenaan. Apabila al-Mursyid Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri ke Kota Kinabalu beberapa minggu lepas, beliau ada menceritakan aktiviti kumpulan ini. Mereka menyediakan makanan (kalau tidak salah sekali atau dua kali seminggu) di Masjid Jamek Kuala Lumpur, dengan syarat mereka menyertai solat berjamaah dan tazkirah yang diadakan.

Tengah malam tadi, saya lepak-lepak dengan dua sahabat, Cikgu Nik Suhaimi dan Wan Azhaniz di gerai-gerai Asia City. Sebenarnya saya sudah bercerita tentang hal itu beberapa hari sebelumnya. Selesai minum-minum sekitar jam 1, saya mencadangkan agar kami membuat tinjauan awal suasana bandaraya Kota Kinabalu selepas tengah malam. Sebenarnya kami tidak tahu di mana gelandangan selalu bermalam, jadi malam tadi hanya untuk kami mengambil mood sebelum tindakan lain menyusul nanti.

Kami bergerak perlahan sekereta saja bermula di kawasan Sinsuran. Seorang lelaki tua tidur di kaki lima tepi sebuah kedai. Dapat satu. Kami jalan lagi dan tidak bertemu sesiapa di kawasan Sinsuran ini. Berpusing di sekitar Hotel Hyatt dan Wisma Merdeka, kami menemui seorang ibu dan anak lingkungan umur 5-6 tahun tidur di atas bangku panjang belakang Wisma Merdeka. Dapat lagi.

Bergerak ke kawasan Dewan Masyarakat dan terus lalu ke Balai Polis KK, Padang Merdeka. Kami menemui beberapa orang tidur depan dewan, ketika itu kami tidak dapat menghitung tepat kerana hanya melintas lalu. Permulaan kami agak-agak di sini mungkin 3-4 orang. Kami memutuskan untuk singgah kembali ke Asia City dan saya membeli 5 bungkus nasi ayam dan air mineral buat program pelancaran malam tadi.

Pusingan kedua ini barulah kami berhenti singgah.

Wardah berumur 30an katanya berasal dari Kinabatangan, baru beberapa malam tidur di belakang Wisma Merdeka ini. Dia mempunyai 3 anak, dua daripadanya dijaga oleh keluarganya dan dia hanya membawa seorang yang berumur 5-6 tahun. Katanya menanti suaminya yang bekerja di Kota Belud. Mukanya sesekali tertawa kecil dan sesekali kami lihat ketakutan, barangkali menyangka kami polis. Kasihan melihat anaknya yang tidur kesejukan dan Cikgu Nik memberinya bantal kecil yang kebetulan ada di keretanya.

Kami menyinggah di kaki lima Sinsuran. Pakcik itu bernama Joseph, bangsa  india penganut Kristian Katholik. Katanya berasal dari Hulu Kelang Selangor. Belum lama di sini, katanya baru 10 tahun! Entah betul atau tidak maklumat yang mereka berikan, tidak mengapalah kerana niat kami sekadar menyampaikan sumbangan makanan.

Kami ke dewan pula. Ada 3 bungkus berbaki. Rupanya bukan sekadar 3-4 orang tapi lebih sebenarnya. Mereka yang menginap di sini agak mesra dengan kami. Pakcik Mohd Din, 58 tahun dari Papar seorang muallaf, masih ada lagi tatto di tubuhnya. Rosli 30an, berasal dari Tamparuli, pernah bekerja di sebuah kedai nasi ayam. Di sisinya teman perempuannya bernama Linda dari Tuaran. Kami nasihatinya agar pulang nanti ke rumah.

Di sana juga ada Raynold berumur 33 tahun. Mengejutkan Raynold adalah penghidap HIV sejak 8 tahun lalu. Berasal dari Kota Belud dan tidur di sini sejak 6 tahun lalu. Ada kisah lama sehingga dia tidak diterima oleh keluarganya. Saya kira di sini tidak berhajat untuk menceritakan secara terperinci kisah lama dan kampung asal mereka – cukup sekadar daerah sahaja.

Sebenarnya ada lagi beberapa orang di situ tetapi sedang nyenyak tidur, sementara bekalan nasi yang kami bawa pula sudah kehabisan. Sekitar jam 2 kami selesai untuk kali ini, dengan hajat untuk datang membantu mereka lagi pada masa akan datang. Kami berharap dapat bantuan dan sumbangan para pembaca blog ini dan boleh hantar mesej peribadi melalui facebook saya. Klik facebook di ruang sisi kanan blog ini jika berminat untuk membantu daripada segi kewangan atau ingin menyertai ziarah kami.

Kami bertiga berhajat untuk meneruskan misi ini secara tetap, seminggu sekali atau dua kali menurut kemampuan kami, mungkin antara 10-15 bungkus makanan untuk sekali ziarah. Kami jangka masih ada gelandangan lain yang tidur di kawasan-kawasan lain. Mohon bantuan juga sekiranya ada yang mengetahui lokasi mereka untuk kami ziarahi dan kenal pasti. Kami tidak berhajat untuk mempersoal dan mempertikaikan agama, bangsa, umur, tenaga, kerjaya para gelandangan ini. Niat kami sekadar membantu.

Maklumat lain akan kami kongsikan daripada masa ke masa.