Ceritanya bermula 2 minggu lalu apabila siswa-siswa Ma’ahad Tahfiz Sabah meminta saya memberi sedikit tazkirah  selepas solat fardhu maghrib di surau ar-Rahman. Sesudah isyak kami berbincang santai agar satu sesi kuliah maghrib secara tetap diadakan, kerana di surau mereka tidak ada langsung pengisian kuliah maghrib. Maka saya ada mencadangkan kuliah maghrib jumaat malam sabtu dengan memilih buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang terkenal itu.

Lewat facebook peribadi saya, baru-baru ini saya lancarkan sumbangan buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ untuk sebanyak 30 buah buku – berdasarkan jumlah siswa siswi huffaz yang ada sekarang di maahad berkenaan. Alhamdulillah, saya menerima sokongan dan dukungan yang agak mengejutkan juga daripada teman-teman facebook, menunjukkan kesedaran untuk menyumbang dan mengembangkan harta mereka ke jalan yang diridhai oleh Allah SWT.

Dalam tempoh kurang 48 jam, saya menerima sejumlah wang yang mencukupi – bahkan melebihi daripada apa yang kami perlukan. Jumlah wang yang diterima telah membolehkan saya membeli sejumlah 40 buah buku berkenaan untuk digunakan oleh para siswa dan siswi tahfiz kami. Semua penyumbang adalah teman-teman facebook saya, antaranya seorang pegawai bank, seorang pensyarah kolej swasta, seorang peguam, dan seorang muallaf yang menyumbang sejumlah wang untuk 30 buah buku.