Archive for 14 Disember 2011


PUSINGAN KE-2

Saya sangat terhutang budi kepada Ummu Nuha yang memberi sepenuh perhatian kepada pengajian al-Quran buat anak-anak. Berbanding saya yang banyak masa di luar, dia mengajar mereka mengaji hampir setiap malam. Anak sulung, Nuha Wafiyyah telah mengkhatamkan al-Quran selepas hari raya aidil fitri yang lalu, Hana Sumayyah sudah berada di pertengahan al-Quran dan Abdul Hadi baru iqra 2.

Prinsip yang saya tekankan kepada isteri saya ketika mengajar Nuha dan Hana ialah agar menimbulkan perasaan mereka suka membaca al-Quran terlebih dahulu. Teguran hanya terhadap kesalahan besar seperti salah baris atau salah huruf saja, dan mengabaikan kesalahan seperti dengung dan sebagainya. Tujuannya agar mereka tidak merasa bosan dengan teguran yang terlalu banyak sehingga nanti menimbulkan sikap tidak suka membaca al-Quran. Bahkan saya cuba meneladani apa yang dilakukan oleh guru kami Ybhg Datuk Haji Asmali Bachi kepada anak-anaknya, memupuk minat baca al-Quran sampai tahap tidak perlu dipantau.

Untuk Nuha, pusingan kedua bermula sudah bermula malam isnin lalu. Untuk pusingan kali ini, saya sendiri yang mengambil alih mengajarnya. Proses kali ini, untuk sekali pertemuan, dia hanya akan membaca satu muka surat sahaja tetapi saya akan menekankan masalah tajwid pula. Ertinya soal hukum hakam mad, dengung, tasydid, makhraj dan sifat huruf akan ditekankan sedayanya.

Selepas tamat satu muka surat yang dibaca, dia akan membaca terjemahannya pula. Saya mahu dia tahu seimbas lalu maksud al-Quran yang dibacanya. Jadual mengajinya tidak saya tetapkan, bergantung kelapangan masa saya di rumah. Mungkin sekali atau dua kali seminggu sahaja. Memang dia akan kesusahan sehingga satu potongan ayat ada yang mengambil masa sampai berbelas kali kerana terdapat kesalahan pada bacaannya. Bahkan baru sekali ini pun dia mengambil masa hampir sejam untuk menghabiskan semuka surat kerana saya mula mengambil pendekatan tegas dalam masalah tajwid.

Tidak mengapa, doakan saja kami bertahan dan sampai ke hujungnya lalu dia akan bergerak ke pusingan ketiga dengan pendekatan yang lain pula.

 

 

Sebuah filem pendek yang menerangkan hudud secara umum. Filem pendek ini diterbitkan bertujuan untuk menjawab persoalan dan kekeliruan yang ditimbulkan dalam klip video ‘Sembang Rakyat’ yang bertajuk ‘Musim hudud’ dan ‘Hudud PAS lagi’. Semoga klip video ini dapat memberi manfaat kepada para penonton. Kami sangat mengalukan perkongsian (share) video ini kepada masyarakat.

%d bloggers like this: