Archive for 13 Disember 2011


Sejak beberapa hari kebelakangan, saya berjanji kepada anak-anak untuk membawa mereka ke Taman Perdana Tanjung Aru, seperti biasa bermain permainan di sana. Agak lewat kami ke sana kerana terdahulu berziarah ke Hospital Likas menziarahi beberapa pesakit.

Saya solat maghrib di surau stesen petronas, Kepayan. Syukur kepada Allah, setahu saya semua stesen minyak petronas mempunyai suraunya sendiri yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Suraunya walaupun kecil, boleh muat 3-4 orang sja, tapi tetap selesa dengan sedikit ruang wudhu’ dan sejadah yang disediakan.

Jam 6.30 petang kami tiba di lokasi.

Ya Rabbi, ramainya orang. Kenderaan bergerak perlahan, masuk ke kawasan parkir. Dalam keadaan ramainya umat Islam yang berada di sana, hati saya tertanya-tanya di manakah mereka sembahyang maghrib?  Atau yang hadir itu kesemuanya bukan Islam? (Sedangkan ramai datang berpasangan Рperempuannya bertudung). Atau semuakah perempuan dewasa itu sedang haid? Atau semuakah orang Islam yang hadir itu musafir kesemuanya sehingga semuanya boleh solat jamak dan qasar?

Saya pernah menulis di sini, betapa penganjur kawasan ini perlu menyediakan ruang khusus untuk solat. Ia kawasan yang sangat luas, kenapa mereka tidak mahu meraikan dan menghormati umat Islam? Adakah salah umat Islam sendiri yang mengabaikan kewajiban agamanya? Saya menggesa pihak berkuasa – DBKK – melakukan sesuatu agar tempat yang menjadi tumpuan awam ini diusahakan untuk mendirikan surau yang munasabah lokasinya, muatnya, kemudahannya dan sebagainya.

Saya meyakini bukan saya seorang yang mengadu hal ini. Pak sekuriti dan pekerja-pekerja di sana pun sering menjadi tempat pertanyaan orang. Di mana surau? Suraunya di mana? Barangkali mereka sudah lali mendengar soalan itu dan menjawab di sini tiada surau. Entahlah pekerja-pekerja muslim itu solat atau tidak.

Benarlah bahawa bumi ini suci, dan umat Islam boleh solat di mana-mana saja,  tidak mesti dengan ada surau, tapi tanggungjawab pemerintah menyediakan kemudahan ini. Kalau untuk dunianya manusia bersungguh-sungguh menyediakan premis dan bangunan agar mereka selesa berurusan, apakah dengan urusan solat dibiarkan begitu saja.

 

 

 

 

 

%d bloggers like this: